KUALA SELANGOR 6 November 2026 (The Capital Post) – Kerajaan Negeri Selangor akan meneliti semula kelulusan projek pembangunan yang telah diberikan bagi memastikan pemaju melaksanakan langkah mitigasi banjir, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan risiko kejadian banjir berulang serta memastikan setiap pembangunan mengambil kira keperluan sistem pengurusan air yang bersesuaian.
Beliau berkata, semakan tersebut turut merangkumi keperluan mewajibkan pemaju menyediakan kemudahan tadahan air sementara dan memastikan pelaksanaannya dilakukan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Amirudin berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di lokasi kolam tadahan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut mengenal pasti beberapa faktor lain yang menyumbang kepada kejadian banjir di kawasan Johan Setia, Parit Mahang, Bukit Kuching dan Bukit Hijau.
Antara isu yang dikenal pasti ialah kegiatan vandalisme terhadap ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh 1 sehingga menyebabkan ketinggian struktur itu menjadi lebih rendah daripada spesifikasi asal di beberapa bahagian.
Selain itu, limpahan air dari Lebuhraya Pantai Barat (WCE) turut dikenal pasti sebagai antara faktor yang perlu ditangani.
-Advertisement-
Beliau berkata, tindakan segera telah diminta bagi menangani kerosakan akibat vandalisme serta membanteras aktiviti haram di kawasan berkenaan, termasuk melaksanakan beberapa kerja perobohan.
Menurutnya, perobohan itu bertujuan menyediakan kawasan tadahan air atau dataran banjir di dua lokasi yang telah dikenal pasti, dengan pelaksanaan dikendalikan Pejabat Daerah dan Tanah bersama pihak berkuasa tempatan.
Mengulas mengenai sebuah masjid di kawasan berkenaan yang kerap dilanda banjir, Amirudin berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pihak pentadbiran masjid bagi meneliti kemungkinan meninggikan struktur bangunan atau memindahkannya ke lokasi lain.
Beliau menjelaskan kawasan masjid tersebut merupakan kawasan rendah yang menerima limpahan air Sungai Subang.
Aliran sungai berkenaan bergerak dari kawasan Gombak dan Petaling sebelum melalui Merbau Sempak serta Sungai Buloh, dengan sebahagian alirannya menuju ke kawasan Ijok dan Kuala Selangor.
Kerajaan negeri akan terus meneliti langkah penyelesaian berkaitan pembangunan, infrastruktur saliran dan kawasan tadahan bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan terjejas. – The Capital Post