MOTAC Pertimbang Bantuan Penganjur Acara Antarabangsa

Estimate Reading Time: < 1 minute

SIBU 8 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersedia meneliti peluang kerjasama serta bentuk bantuan kepada penganjur acara bertaraf antarabangsa di Malaysia, terutama mereka yang berdepan kekangan kewangan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan lebih banyak acara antarabangsa dianjurkan di negara ini, sekali gus meningkatkan penyertaan peserta dari luar negara.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan seiring dengan usaha kementerian memperluas penglibatan Malaysia dalam pasaran antarabangsa melalui penganjuran program yang mampu menarik penyertaan pelbagai negara.

Menurutnya, acara seperti forum dan bengkel antarabangsa bukan sahaja berpotensi meningkatkan jumlah kehadiran pelawat, malah menyediakan ruang untuk peserta tempatan dan luar negara bertukar pengetahuan, pengalaman serta kemahiran.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Forum dan Bengkel Kejurulatihan Memanah Antarabangsa dan Kesejahteraan 2026 di sini hari ini.

Tiong turut berharap penganjuran forum dan bengkel kejurulatihan itu dapat diperluas pada tahun depan dengan melibatkan lebih banyak negara.

Dalam pada itu, beliau berkata MOTAC akan meneliti bentuk kerjasama dan bantuan bersesuaian bagi membantu penganjur mengatasi cabaran kewangan yang boleh menjejaskan kelancaran penganjuran acara bertaraf antarabangsa. – The Capital Post