KUCHING, 28 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Lima tahun akan datang merupakan tempoh penting bagi Sarawak untuk mencapai tahap pembangunan lebih matang serta merealisasikan sasaran pembangunan negeri menjelang 2030, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata negeri itu telah melalui transformasi ketara sepanjang sedekad lalu, daripada sebuah negeri yang pernah dipandang rendah kepada negeri yang kini mendapat perhatian di peringkat nasional.
“Pencapaian pembangunan Sarawak sepanjang 10 tahun lepas membuktikan kepentingan kestabilan politik dan perancangan pembangunan jangka panjang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Mobilisasi SUPP Zon Selatan di ibu pejabat parti itu, malam tadi.
Sehubungan itu, Dr Sim menyeru seluruh ahli dan jentera SUPP supaya memperkukuh perpaduan serta menggembleng tenaga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 demi memastikan kesinambungan agenda pembangunan negeri.
Beliau turut menekankan kepentingan penyertaan masyarakat Cina dalam politik arus perdana Sarawak bagi memastikan kepentingan komuniti itu terus diwakili dalam proses penggubalan dasar kerajaan negeri.
Menurutnya, sokongan masyarakat Cina juga penting untuk memperkukuh suara dan peranan SUPP dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
-Advertisement-
Pada majlis berkenaan, SUPP memperkenalkan enam calon parti itu bagi PRN Sarawak ke-13, termasuk Dr Sim yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah.
Lima calon lain ialah Nicholas Wung Duk Ying bagi DUN Padungan, Datuk Wee Hong Seng (Pending), See Chee How (Batu Lintang), Wilfred Yap Yau Sin (Kota Sentosa) dan Datuk Lo Khere Chiang (Batu Kitang).
SUPP sebelum ini mengumumkan senarai 18 calon yang akan mewakili parti itu dalam PRN kali ini, dengan semua nama yang dikemukakan kepada GPS telah diterima untuk bertanding di kerusi masing-masing.
Senarai berkenaan turut menampilkan beberapa muka baharu bagi kerusi DUN Padungan, Simanggang dan Bawang Assan, selain dua penyandang, iaitu See Chee How bagi Batu Lintang dan Dr Johnical Rayong Ngipa bagi Engkilili, yang akan bertanding atas tiket SUPP.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, 8 Disember sebagai hari pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian. – The Capital Post