Abdul Aziz Abdul Majid Dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 14 September 2026 (The Capital Post) – YBhg. Dato’ Sri Abdul Aziz bin Abdul Majid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 9 September 2026, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pelantikan itu diperkenankan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat YAB Perdana Menteri dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis, selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Aziz, 59, dilahirkan pada 19 Februari 1967 di Penaga, Pulau Pinang dan memiliki Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Julai 1995.

Sepanjang hampir tiga dekad dalam perkhidmatan, beliau telah berkhidmat di pelbagai jabatan PDRM termasuk Jabatan Pengurusan, Jabatan Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Beliau turut memegang beberapa jawatan strategik dalam PDRM, antaranya Pengarah Pengurusan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Timbalan Pengarah Narkotik dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.

-Advertisement-

Selain itu, Abdul Aziz pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Dasar/Sumber dan Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu.

Dalam usaha memperkukuh pengetahuan serta profesionalisme dalam bidang kepolisan, beliau turut mengikuti pelbagai kursus dan seminar di dalam serta luar negara, termasuk The 8th International Symposium of Best Police Practice di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan Intelligence Management Development Programme di Australia.

KDN berkata pengalaman luas serta kepakaran yang dimiliki Abdul Aziz dalam bidang kepolisan memberikan beliau kompetensi dan keupayaan kepimpinan yang diperlukan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Polis Negara. Kerajaan turut merakamkan ucapan tahniah kepada beliau atas pelantikan tersebut – The Capital Post