Ahmad Idham tubuh PRISMA didik anak istimewa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Melihat keperluan dalam usaha memastikan pendidikan awal anak istimewa diberi perhatian sewajarnya, pelakon, pengarah dan penerbit, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 51 mengambil inisiatif menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Ibubapa Anak-Anak Istimewa atau PRISMA.

-Advertisement-

Ahmad Idham menjalinkan kerjasama dengan pelantar infaq digital, Rezeki Infaq bagi mengumpul dana untuk menubuhkan pusat pendidikan anak-anak istimewa di seluruh negara.

“Sebagai usaha awal PRISMA, saya akan berkolaborasi dengan Rezeki Infaq yang antara lain fungsinya untuk mengumpul dana.

“Sumbangan masyarakat kepada tabung melalui Rezeki Infaq akan digunakan untuk membiayai penubuhan Pusat Intervansi Awal Kanak-Kanak di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PRISMA dan Rezeki Infaq berlangsung secara ringkas di Putrajaya, baru-baru ini.

Tambahnya, pusat intervensi itu akan menyediakan pendidikan dan terapi khusus kepada anak-anak istimewa berusia antara 3 hingga 6 tahun.

Katanya, proses itu dilihat perlu terutama bagi persiapan awal buat anak-anak istimewa yang bakal memasuki alam sekolah rendah.

Malah, katanya, usaha itu juga mempunyai matlamat murni untuk membantu golongan berpendapatan sederhana menyediakan pendidikan khas untuk anak istimewa.

-Advertisement-

“Contohnya, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di bawah Kementerian Pendidikan, saya tidak nampak ada koordinasi yang lebih sistematik dari sudut modul pendidikan khas.

“Kita tahu PPKI akan mengambil anak-anak istimewa bermula usia 7 tahun sahaja.

“Oleh itu, sebagai usaha awal, PRISMA akan memainkan peranan penubuhan pusat intervensi ini.

“Malah, sumbangan masyarakat melalui Tabung Sinar Firdaus turut digunakan untuk menaja anak-anak istimewa daripada keluarga B40,” kata Ahmad Idham lagi

Selain itu, pengarah filem Adnan Sempit itu juga merancang mewujudkan pelbagai program kesedaran dan latihan kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa di bawah PRISMA.

– BH