Aktiviti ambil untung heret turun Bursa Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Dagangan di Bursa Malaysia mencatatkan kemerosotan daripada keuntungan semalam untuk dibuka lebih rendah pada Jumaat berikutan aktiviti pengambilan untung selepas pelabur mengambil petunjuk prestasi lemah semalaman di Wall Street, kata seorang peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguncup 4.20 mata kepada 1,565.90 daripada 1,570.10 pada penutup semalam, selepas dibuka 5.80 mata lebih rendah kepada 1,564.30.

Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mendahului untung sebanyak 325 berbanding 122, manakala 233 kaunter tidak berubah, 1,538 tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 354.50 juta unit bernilai RM167.08 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, aktiviti pengambilan untung mungkin terbentuk di tengah-tengah kebimbangan yang semakin ketara mengenai kadar kenaikan kadar faedah di AS pada 2022 dan ketidaktentuan baharu di Wall Street semalaman.

Di pasaran tempatan, pelabur masih berhati-hati kerana tumpuan kini beralih kepada pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2021 lewat hari ini untuk menilai kadar pemulihan ekonomi.

“Stok tema pemulihan juga mungkin menjadi perhatian menjelang pengeluaran data KDNK suku keempat,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

-Advertisement-

Saham wajaran tinggi Bursa, Maybank susut tiga sen kepada RM8.52, Public Bank turun dua sen kepada RM4.33, IHH Healthcare lebih rendah sebanyak lima sen kepada RM6.50, manakala Petronas Chemicals meningkat dua sen kepada RM9.13.

Bagi saham aktif, Vortex Consolidated dan Dagang NeXchange masing-masing menambah satu sen kepada sembilan sen dan RM1.08, KNM meningkat 1.5 sen kepada 17 sen, manakala Hibiscus Petroleum turun dua sen kepada RM1.03.

Di papan indeks, FBM ACE turun 68.71 mata kepada 6,264.62, FBM 70 menguncup 69.54 mata kepada 13,709.15, Indeks FBM Emas lebih rendah 35.15 mata kepada 11,232.46, Indeks FBMT 100 merosot 35.08 mata kepada 10,917.51 dan Indeks FBM Emas Syariah kerugian 29.73 mata kepada 11,930.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 61.74 mata kepada 16,220.67, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.06 mata kepada 209.81, dan Indeks Perladangan susut 5.72 mata kepada 6,882.79.

-BERNAMA -BH