AMANAH yakin formula Kerajaan Perpaduan mampu rampas Kedah

Estimate Reading Time: < 1 minute

SUNGAI BULOH: AMANAH yakin formula Kerajaan Perpaduan memberi peluang kepada pihaknya merampas semula Kedah daripada Perikatan Nasional (PN).

-Advertisement-

Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari, berkata formula Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijangka memberi kelebihan dan peluang kepada mereka pada pilihan raya negeri itu.

Katanya, AMANAH juga yakin, mereka bukan saja dapat mempertahankan kerusi-kerusi di tiga negeri iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan malah memberi saingan di dua negeri lain iaitu Kedah dan Terengganu.

“AMANAH akan terbabit dalam PRN di semua negeri dan pada asasnya kita akan menumpukan kepada kerusi-kerusi yang dimenangi sebelum ini untuk dipertahankan.

“Saya melihat kita mempunyai peluang di Kedah serta bersaing di Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu kita berpeluang disebabkan perubahan kerajaan sejak akhir-akhir ini.

-Advertisement-

“Menerusi formula Kerajaan Perpaduan hari ini, banyak perubahan yang boleh memberi ruang kepada kita. Bukan sahaja mempertahankan tiga negeri ini malah kita mampu ambil sekali Kedah,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil PERHEBAT, di Kompleks PERHEBAT, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata, AMANAH akan memberi komitmen untuk mendukung rakan-rakan parti Kerajaan Perpaduan yang akan bertanding PRN khususnya di tiga negeri yang perlu dipertahankan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Adly Zahari bersama Pengerusi PERHEBAT, Jeneral (B) Tan Sri Zulkefli Mohd Zin (kiri) ketika sidang media selepas majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Perhebat di Dewan Jubli Perak Kompleks Perhebat, Sungai Buloh. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

– BH