PUTRAJAYA 2 Oktober 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyeru mahasiswa agar memanfaatkan ilmu, bakat dan peluang yang diperoleh menerusi pendidikan tinggi untuk memberi sumbangan kepada masyarakat serta negara.
Beliau berkata institusi pengajian tinggi tidak seharusnya dilihat sebagai entiti yang terpisah daripada realiti kehidupan masyarakat, sebaliknya mahasiswa perlu memahami isu semasa dan menggunakan pengetahuan yang dimiliki bagi membantu menangani cabaran negara.
Menurutnya, kecemerlangan akademik perlu disertai pembentukan akhlak, sahsiah, keperibadian dan jati diri kerana ilmu semata-mata tidak mencukupi tanpa nilai yang menjadi panduan dalam kehidupan.
Beliau turut menggesa Generasi Z membina kesedaran yang tinggi serta memupuk semangat untuk berkhidmat, melakukan kebaikan dan menyumbang kepada perubahan yang membawa manfaat kepada masyarakat.
Anwar berharap barisan Tokoh Siswa yang dilahirkan setiap tahun bukan sahaja mencapai kecemerlangan akademik, malah memiliki semangat, daya juang dan keinginan untuk membawa perubahan kepada bangsa dan negara.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, berkata pembangunan mahasiswa perlu dilihat secara menyeluruh dengan merangkumi aspek akademik, kepimpinan, sahsiah dan kesediaan untuk berbakti kepada masyarakat.
-Advertisement-
Beliau berkata pendekatan pembangunan “otak dan watak” penting bagi melahirkan mahasiswa berilmu, berintegriti dan bertanggungjawab serta mampu mengaplikasikan ilmu untuk kepentingan rakyat dan negara.
Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026 yang berlangsung di Putrajaya semalam menyaksikan penyampaian 13 anugerah utama dalam bidang kepimpinan, inklusiviti, kesukarelawanan, komuniti, kelestarian, inovasi, perpaduan, bicara, sukan, seni warisan dan keusahawanan.
Anugerah Tokoh Siswa Negara 2026 diberikan kepada Mohamad Amar Aidid Mohd Zain dari Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian serta pengalamannya dalam perwakilan mahasiswa, penyertaan dalam perancangan pendidikan tinggi dan mobilisasi bantuan kemanusiaan.
Selain 13 anugerah utama, ATSN 2026 turut menyampaikan empat kategori Anugerah Khas, iaitu Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi, Anugerah Khas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Anugerah Khas Ketua Setiausaha KPT dan Anugerah Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi kepada lapan mahasiswa daripada universiti awam dan institusi pendidikan tinggi.
ATSN 2026 dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai platform mengiktiraf mahasiswa yang menyerlah dalam pencapaian akademik, kepimpinan serta sumbangan kepada masyarakat dan negara – The Capital Post