ASEAN-AS perlu tumpu pacu semula ekonomi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) perlu menumpukan usaha memacu semula ekonomi dan memulihkan kerosakan disebabkan COVID-19, kata Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

-Advertisement-

Berucap pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN-AS secara maya hari ini, Hishammuddin berkata kedua-dua pihak mesti menggunakan peluang yang ada untuk mengukuhkan lagi kerjasama, ketika ini dagangan dua hala AS dan negara ASEAN berjumlah lebih AS$260 bilion.

“Malaysia juga satu daripada lima pembekal import negara ASEAN untuk AS dengan nilai AS$39.4 bilion. Ia satu angka besar dan penting bagi kedua-dua pihak terus komited memelihara dan mengekalkan hubungan dan keterbukaan rantaian bekalan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat itu turut disertai Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

Hishammuddin berkata, ASEAN-AS perlu menyedari hakikat jutaan nyawa bergantung kepada dagangan tanpa halangan dan kedua-dua pihak perlu bekerjasama erat mengenal pasti serta mengatasi sebarang gangguan perdagangan, terutama merumitkan aliran keperluan.

“Malaysia juga berharap AS menyokong usaha ASEAN menangani masalah kesihatan mental yang menjadi fokus utama dalam mengatasi kesan sosioekonomi akibat pandemik,” katanya.

Hishammuddin berkata, sebagai negara penyelaras, Malaysia bekerjasama rapat dengan Australia dan Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN 2021 dalam hal itu, yang menjadi keutamaan kepemimpinan Brunei tahun ini.

-Advertisement-

“Kami menyuarakan kesediaan menjadi penaja bersama Pernyataan Pemimpin mengenai Kesihatan Mental pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-16 dan berharap AS menyokong pernyataan itu,” katanya.

Katanya, ASEAN dan AS boleh mengeratkan lagi kerjasama dalam bidang lain termasuk keselamatan siber, pembangunan digital dan jenayah rentas sempadan.

Di pihak Kementerian Luar dalam menangani kebimbangan dicetuskan pandemik COVID-19, Hishammuddin berkata kementeriannya sedang meneliti empat faktor.

Beliau berkata, ia merangkumi amalan terbaik ‘pemutus litar’ dari negara lain untuk membantu memberi nasihat kepada pihak berkuasa kesihatan, kedua mendapatkan kepakaran dan kemampuan ujian untuk mengukuhkan lagi infrastruktur ujian sedia ada, dan ketiga memanfaatkan hubungan dengan rakan pengeluar atau pengeksport vaksin bagi meningkatkan bekalan vaksin.

“Keempat, tidak kurang pentingnya adalah pengiktirafan bersama sijil vaksinasi untuk memudahkan perjalanan rentas sempadan pada masa akan datang,” katanya.-BERNAMA