Peniaga kecil minta dibenarkan berniaga

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Peniaga kecil di seluruh negara akan terjejas lebih teruk jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilanjutkan lagi.

-Advertisement-

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Datuk Michael Kang, berkata ketika ini peniaga sudah tidak mempunyai pendapatan dan biarpun sesetengah perniagaan dibenarkan dibuka, ia langsung tidak menjana keuntungan.

Katanya, kerajaan perlu melihat keadaan semasa peniaga kecil hari ini yang majoritinya semakin ‘mati’ disebabkan perniagaan langsung tidak dapat beroperasi dalam tempoh PKP.

“Hari ini perniagaan amat terjejas teruk dan ada yang sudah ‘mati’ dan jika PKP diteruskan untuk tempoh dua minggu atau sebulan lagi saya rasa semua peniaga akan mengangkat ‘bendera putih’ meminta bantuan untuk hidup.

“Malah ada kenyataan menteri bahawa industri mikro akan terjejas sebanyak 49 peratus sekiranya ia terus ditutup dan ia benar kerana jika boleh dibuka sekali pun, banyak prosedur operasi standard (SOP) yang tidak sepadan dan akhirnya membawa tindakan penguatkuasaan kepada peniaga,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Fasa 1 PKP 3.0 sebelum diumumkan diteruskan sehingga nilai ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) kurang 4,000 kes.

Bagaimanapun kes jangkitan COVID-19 ketika ini meningkat hari demi hari termasuklah kes tertinggi semalam yang mencecah kepada 11,000 dan tidak menunjukkan ia akan berkurangan sehingga 4,000 kes.

Mengulas lanjut Michael berkata, peniaga kecil amat mematuhi SOP yang ditetapkan dan sepatutnya dibenarkan beroperasi sekiranya mereka berada di kawasan bukan risiko COVID-19.

-Advertisement-

“Sudah sampai masanya tindakan PKP dilakukan di kawasan yang mempunyai risiko tinggi COVID-19 dan membenarkan peniaga kecil kawasan lain untuk meneruskan perniagaan dengan SOP yang ketat,” katanya.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman, pula berkata, kerajaan diminta menimbang langkah yang perlu seperti memberikan elaun sara diri sekurang-kurangnya RM500 kepada peniaga sekiranya PKP dilanjutkan.

“Ketika ini, itulah yang diperlukan mereka. Tiada gunanya memberikan geran bantuan atau modal berniaga kerana dana yang diberikan itu tetap akan digunakan untuk memberi barang keperluan.

“Apa yang boleh diniagakan hari ini kerana ramai yang dibenarkan berniaga pun tidak pulang modal,” katanya.

Beliau berkata peniaga kecil terkesan kerana mereka berpendapatan harian.

“Rakyat hari ini sangat patuh kepada undang-undang tetapi mereka hidup dalam tekanan kerana tiada pendapatan dan jika tekanan itu memuncak, saya fikir akan ada rakyat yang keluar dan tidak mahu lagi mematuhi arahan,” katanya.-BH