Banjir di T’ganu: Lebih 2,000 penduduk di Hulu Kemaman terputus hubungan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KEMAMAN, 18 Dis — Lebih 2,000 penduduk di beberapa kampung di Hulu Kemaman di sini terputus hubungan selepas jalan keluar masuk ke kampung mereka dinaiki air mulai 7.30 pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Abdul Razak Ibrahim berkata hujan lebat berterusan sejak petang Rabu menyebabkan limpahan air Sungai Tebak mula menenggelami jalan di beberapa lokasi.

“Hasil tinjauan saya pagi ini mendapati penduduk di beberapa kampung seperti Seberang Tayor, Kampung Batu 16 dan Kampung Batu 14 Tebak tidak boleh keluar kerana paras air yang agak tinggi di jalan tersebut.

-Advertisement-

“Saya juga berharap penduduk tidak mengambil risiko untuk melalui jalan itu walaupun dengan kenderaan pacuan empat roda kerana arusnya agak deras dan ini boleh membahayakan keselamatan mereka,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Tinjauan Bernama di Kampung Tebak mendapati orang ramai yang ingin ke Bandar Chukai terpaksa berpatah balik kerana laluan utama di Seberang Tayor tidak boleh dilalui.

Ketika ini penduduk di kampung-kampung berkenaan terpaksa melalui Jalan Mak Lagam, Cheneh atau Jalan Seri Bandi-Ibok sebagai alternatif untuk ke Bandar Chukai.

-Advertisement-

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Jariah Mat Min, 64, yang ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Padang Kubu berharap banjir kali ini tidak menyebabkan lumpur tebal seperti yang berlaku di Air Putih sebelum ini. -BERNAMA