Bank sentiasa sedia bantu peniaga kecil terjejas OPR – ABM

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ahli Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) kekal bersedia dalam membantu peminjam perniagaan kecil yang menghadapi kesukaran untuk membayar semula hutang akibat peningkatan kos pinjaman kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

-Advertisement-

ABM berkata, mereka menyedari bahawa ansuran bayaran balik bulanan untuk pinjaman dengan kadar faedah terapung akan meningkat berikutan peningkatan berganda dalam OPR baru-baru ini.

“Ini akan mengakibatkan sesetengah peminjam terutamanya perniagaan kecil, akan lebih sukar untuk memenuhi obligasi pembayaran balik mereka.

“Untuk memberikan sokongan kepada pelanggan yang memerlukan, bank mempunyai langkah bantuan yang berterusan, seperti penjadualan semula dan penstrukturan semula (R&R), bagi membantu peminjam perniagaan kecil,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, peminjam yang memerlukan bantuan kewangan dinasihatkan untuk menghubungi bank masing-masing melalui saluran rasmi bank mereka.

Ini bagi membolehkan mereka membincangkan pilihan pembayaran balik kewangan yang sesuai dengan keadaan kewangan masing-masing.

-Advertisement-

Tambahannya, pelanggan diingatkan supaya berhati-hati dengan penipu dan hanya memohon sebarang bantuan kewangan melalui saluran bank rasmi.

“Pelanggan bank juga dinasihatkan untuk tidak berurusan dengan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa sebagai ejen atau wakil bank berkenaan dalam hal berkaitan bantuan pembayaran balik.

“Bank tidak melantik atau membabitkan pihak ketiga dan ejen untuk tujuan ini,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373