Bekas kontraktor didakwa palsukan pesanan penghantaran, invois bernilai RM3.7 juta

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bekas kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tujuh tuduhan mengemukakan pesanan penghantaran dan invois palsu berhubung pembekalan mesin pemerah susu dan lembu yang keseluruhan bernilai RM3.7 juta.

-Advertisement-

A Dominic Antoni, 52 bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dominic didakwa dengan dua tuduhan mengemukakan dua pesanan penghantaran palsu kepada Penolong Pegawai Veterinar membabitkan pembekalan bekas pemerah susu dan mesin penyejuk susu lembu yang kesemuanya berjumlah RM1.55 juta, yang sebenarnya tidak pernah dibekalkan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Wisma Tani, Presint 4, Putrajaya, di antara 5 Januari dan 25 Mac 2016.

Tertuduh juga didakwa dengan empat tuduhan mengemukakan pesanan penghantaran dan invois palsu berhubung pembekalan 441 lembu yang mana 171 lembu bernilai RM1,96 juta, di tempat yang sama di antara 16 April 2015 dan 5 September 2017.

Bagi tuduhan ketujuh, dia didakwa mengemukakan pesanan penghantaran palsu berhubung pembekalan tempat memerah susu bernilai RM350,000.00, juga di tempat sama di antara 15 September 2015 dan 17 Disember 2015.

Semua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

-Advertisement-

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat berkata, jika mahkamah memutuskan untuk membenarkan tertuduh dijamin, pihaknya mencadangkan jumlah jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kedah sebulan sekali sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Karthigesan Shanmugam yang mewakili Dominic memohon jaminan anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan jumlah jaminan yang munasabah kerana anak guamnya memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siatasan kes.

Katanya, anak guamnya kini tidak mempunyai pekerjaan tetap dan melakukan kerja rencam.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melapor diri sebulan sekali di ibu pejabat SPRM di Sungai Petani sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan pada 12 Julai ini bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373