Bencana banjir beri peringatan perkasa kelestarian alam sekitar

Estimate Reading Time: 2 minutes

Bencana banjir ada kalanya boleh diramal dan dijangka. Biasanya banjir berlaku di negeri Pantai Timur pada musim tengkujuh akibat perubahan monsun kerana ia membabitkan faktor semula jadi dan geografi.

-Advertisement-

Namun begitu, faktor manusia juga menjadi penyebab utama kepada bencana banjir. Situasi ini agak sukar diramal. Kegagalan mengurus, tiada sikap tanggungjawab dan tiada kesedaran alam sekitar adalah sebahagian faktor manusia yang mengabaikan kelestarian alam sekitar.

Kesannya apabila banyak tempat tidak pernah berlaku banjir, namun kini menghadapi bencana alam terbabit. Impak negatif yang lebih besar akan berlaku kerana kita tidak berada dalam mod bersiap siaga.

Bencana banjir yang melanda negara kita saban tahun mengorbankan banyak nyawa, kerosakan harta benda serta kemusnahan infrastruktur yang teruk. Keadaan ini akan menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat kerana kehilangan rumah, kenderaan, ternakan dan tanaman, malah sumber pendapatan. Sampai bilakah episod tragis ini akan berakhir?

Natijah daripada bencana banjir juga, negara mengalami kerugian berbilion ringgit. Kerajaan terpaksa membelanjakan dana besar untuk membaiki infrastruktur, menyediakan tempat tinggal untuk rakyat dan menyelesaikan pelbagai masalah mendatang.

Kegagalan kita menguruskan alam secara lestari menyebabkan berlaku bencana alam ini. Jika disoroti, aktiviti penerokaan hutan dan pembalakan haram akan menjejaskan keseimbangan ekosistem kerana hutan adalah kawasan tadahan hujan yang penting.

Pencerobohan hutan secara berleluasa perlu dikawal dan dihentikan segera. Keperluan menanam semula pokok di kawasan digondol perlu dilakukan bagi memulihara dan menstabilkan kembali keseimbangan ekosistem terbabit.

Sistem saliran dan perparitan tidak sistematik akan menjadi penyumbang kepada banjir. Saiz parit dan longkang kecil serta penyelenggaraan tidak berkala akan memberi kesan besar apabila berlaku hujan pada kadar taburan tinggi. Jika aspek ini tidak diatasi, episod banjir kilat pasti berulang.

Selain itu, hakisan dan pemendapan sungai menyebabkan berlaku banjir. Keadaan sungai cetek akan mendorong limpahan air sungai ke kawasan rendah dengan cepat. Ia mengundang musibah terhadap kawasan penempatan dan perumahan berdekatan sungai.

Justeru, kerja mendalamkan sungai dan menaik taraf laluan sering ditenggelami banjir perlu dilakukan.

-Advertisement-

Pembangunan lereng bukit tanpa perancangan teliti akan menyebabkan kejadian tanah runtuh. Apabila hujan berterusan di kawasan tanah yang ditarah, menyebabkan struktur tanah menjadi longgar. Keadaan ini akan membahayakan nyawa penduduk yang mendiami atau melalui kawasan itu.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan garis panduan jelas bagi setiap projek pembangunan yang akan dibina supaya lebih mampan dan mesra alam sekitar.

Seterusnya, pelan perancangan jangka masa pendek dan panjang perlu dilakukan supaya bencana banjir tidak memberi impak besar kepada negara dan rakyat.

Agenda melindungi, memelihara dan memulihara alam sekitar mesti menjadi usaha berterusan agar episod duka ini dapat dielakkan berulang. Apabila alam sekitar rosak, kos membaik pulihnya akan menelan belanja tinggi.

Oleh itu, semua pihak perlu berusaha mencari penyelesaian dan kaedah terbaik mengatasi masalah ini.

Pendekatan bersepadu dan perancangan strategik mesti diwujudkan semua pemegang taruh, iaitu agensi kerajaan, pihak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam menguruskan hal ehwal berkaitan alam sekitar.

Kelestarian alam sekitar perlu menjadi keutamaan semua pihak supaya musibah dan bencana alam dapat dibendung. Ingatlah, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

-BH