Biaya lebih rendah dorong pelajar B40 pilih Tingkatan Enam

Estimate Reading Time: 3 minutes

Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 diumumkan baru-baru ini menunjukkan peningkatan catatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional kepada 2.82 berbanding 2.79 pada 2021.

-Advertisement-

Peratus calon memperoleh PNGK 4.00 juga dilihat meningkat iaitu 2.84 peratus (1,184 calon) berbanding 874 calon pada 2021. Menariknya, daripada 1,184 calon ini, 1,009 calon adalah kategori B40.

Selain itu, bilangan calon meraih 5A dalam lima mata pelajaran diambil juga bertambah daripada 36 calon pada 2021 kepada 38 calon pada STPM 2022.

Daripada 38 calon terbabit, 26 dalam kategori B40. Bilangan calon memperoleh 4A juga meningkat daripada 860 calon tahun sebelumnya kepada 1,158 calon pada 2022. Seramai 993 daripadanya daripada kategori B40.

Kesimpulannya, bilangan calon memperoleh 5A dan 4A daripada kategori B40 adalah 1,109 orang. Dapatan daripada laporan keputusan STPM 2022 diumumkan Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dilihat menarik untuk diterokai khususnya berkaitan calon B40 jelas menunjukkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan STPM.

Kategori B40 merujuk golongan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah dari segi pendapatan. Secara umum, keluarga dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM4,850 digolongkan sebagai B40. Golongan ini dilihat menghadapi cabaran ekonomi lebih besar.

Penulis cuba menelusuri kajian terdahulu mengapa STPM didominasi golongan berpendapatan rendah. Namun, sehingga kini belum ada kajian berimpak mengenai isu berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor dikenal pasti mengapa pelajar B40 lebih cenderung menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam dan seterusnya menduduki peperiksaan STPM.

Pertama ialah isu kos lebih rendah. Berbanding program pendidikan prauniversiti lain, STPM mempunyai kos relatif lebih rendah. Kos pendidikan dan yuran sekolah berkaitan STPM lebih murah berbanding program A-Level atau asasi.

Pelajar menyambung pengajian ke Tingkatan Enam mungkin memperoleh keputusan kurang memuaskan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Rentetan daripada itu, mereka mempunyai peluang terhad untuk menyambung pengajian ke kolej matrikulasi atau universiti awam mahupun swasta.

Sehubungan itu, STPM dilihat memberi peluang kedua kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke universiti. Di Malaysia, STPM diiktiraf sebagai kelayakan untuk masuk ke universiti. Ini boleh menjadi daya tarikan bagi pelajar B40 melanjutkan pendidikan ke universiti tanpa perlu menghadapi beban kos terlalu tinggi.

Tempoh pengajian di Tingkatan Enam selama satu setengah tahun memberi masa mencukupi kepada calon untuk belajar bagi menduduki STPM dan seterusnya meningkatkan kelayakan akademik serta bersaing dengan pelajar lain pada peringkat universiti.

Pelajar B40 mungkin tidak mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti tinggi atau kemudahan pendidikan mencukupi pada peringkat pendidikan sebelumnya.

Justeru, STPM menjadi alternatif kepada mereka untuk mendapatkan pendidikan lebih tinggi dan meningkatkan peluang pada masa hadapan.

Selain itu, tidak semua sekolah di Malaysia menyediakan kelas Tingkatan Enam, sebaliknya sekolah menengah terpilih sahaja menawarkan kelas itu di samping kewujudan kolej Tingkatan Enam di seluruh negara.

Terdapat beberapa program bantuan kewangan disediakan untuk membantu pelajar B40 membiayai pendidikan di Tingkatan Enam. Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban kewangan dan menjadi motivasi pelajar B40 memilih STPM sebagai pendidikan mereka.

-Advertisement-

Contohnya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan Bantuan Am Persekolahan bagi membantu pelajar. Bantuan ini khusus untuk pelajar Tingkatan Enam semester 1 pada 2023 mematuhi syarat kelayakan.

Selain itu, faktor tidak ramai lepasan SPM berminat menyambung pengajian ke Tingkatan Enam termasuk mereka tidak mahu lagi terikat dengan peraturan sekolah.

Ketika di Tingkatan Enam, pelajar harus menghadiri sekolah secara penuh dan mengikuti program pengajian intensif. Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan Tingkatan Enam tidak seharusnya terikat dengan peraturan sekolah, diberi sedikit kelonggaran walaupun berada di kawasan persekolahan.

Perdana Menteri turut mencadangkan suasana Tingkatan Enam diubah kerana secara realitinya ia pasca sekolah seperti matrikulasi berikutan sesi persekolahan berakhir pada Tingkatan Lima.

Selain itu, segelintir pelajar mungkin memilih alternatif lain memerlukan masa lebih singkat untuk menyelesaikan pengajian prauniversiti seperti program asasi atau diploma.

Kecenderungan pemikiran STPM sebagai peperiksaan sukar dan menyeluruh juga mempengaruhi pelajar untuk menyambung pengajian ke Tingkatan Enam.

Mereka sebelum ini sudah terbeban dengan kekerapan menduduki peperiksaan dalam konteks sekolah, mungkin menyebabkan kurang minat mengambil STPM.

Selain itu, terdapat banyak pilihan untuk lepasan SPM seperti matrikulasi, diploma, A-Level dan politeknik menekankan kepada kemahiran serta latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk melanjutkan pengajian.

Pelajar mungkin lebih cenderung memilih alternatif dianggap lebih mudah atau memberi jaminan tempat di universiti dan mudah mendapatkan pekerjaan.

Segelintir pelajar juga berpendapat STPM tidak memberikan kelebihan signifikan dalam mencari pekerjaan selepas tamat pengajian.

Mereka mungkin memilih program lebih praktikal atau secara langsung berkaitan dengan bidang pekerjaan diminati seperti program ditawarkan di politeknik atau kolej Komuniti.

Pelajar golongan berpendapatan tinggi juga lebih berminat menyambung pengajian ke kolej atau universiti swasta.

Hakikatnya, peperiksaan STPM mempunyai kelebihan tersendiri berbanding program pengajian lepasan SPM lain. Tambahan pula, Kementerian Pendidikan sedang menyemak semula sukatan mata pelajaran Tingkatan Enam yang dijangka selesai pada 2025.

Ia dilihat sangat relevan supaya seiring dengan perkembangan semasa bagi memenuhi keperluan negara. Semakan semula itu juga bertujuan STPM selaras dengan A-Level dikendalikan Cambridge Assessment International Education (CAIE), United Kingdom.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373