Projek HSR KL-Singapura wajar diteruskan, buka limpahan sosioekonomi negara – Syed Hamid

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) sangat wajar diteruskan bagi membuka peluang pertumbuhan berpotensi yang dapat mengubah landskap sosioekonomi negara.

-Advertisement-

Perkara itu dinyatakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Agensi Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dr Syed Hamid Albar yang berpendapat projek itu wajar diberikan sokong penuh kerana ia memberi faedah besar kepada rakyat dan negara.

Katanya, beliau mengalu-alukan visi dan semangat kerajaan untuk mengaktifkan semula projek HSR KL-Singapura melalui pelaburan sektor swasta.

“Selaku Pengerusi SPAD yang pertama, yang kini dikenali sebagai Agensi Pengangkutan Awam Darat) antara 2010 dan 2017, saya maklum bahawa MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) telah mengorak langkah yang besar dan berusaha keras untuk membangunkan pelan yang bersepadu dan menyeluruh dalam merancang cadangan pembangunan projek HSR KL-Singapura ini.

“MyHSR Corp bukan saja mengenal pasti dan membangunkan spesifikasi teknikal dan kejuruteraan yang diperlukan untuk pembangunan HSR pada tahun 2018, malah terbabit dengan pasukan merangka Sosio HSR yang berwawasan.

“Cadangan pembangunan projek itu termasuk Rancangan Pembangunan Ekonomi yang akan membantu membuka peluang pertumbuhan yang berpotensi dan mengubah landskap sosioekonomi bandar dan bandar, antara Lembah Klang dan Koridor Selatan Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, MyHSR Corp mengumumkan pelaksanaan semula projek HSR KL-Singapura akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta dan tanpa menggunakan dana dan jaminan daripada kerajaan.

MyHSR juga telah melancarkan proses Permintaan Maklumat (RFI) bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep untuk membina dan mengendalikan projek berkenaan melalui model perkongsian awam-swasta.

Syed Hamid yang juga bekas Menteri Undang-Undang berkata, projek HSR KL-Singapura akan membawa bersama limpahan pertumbuhan ekonomi dan sosio masyarakat di kawasan terbabit.

Perkara itu, katanya, dapat dilihat melalui pembangunan HSR di beberapa negara yang mempunyai sistem pengangkutan kereta api laju sebagai mod pengangkutan teras mereka, seperti Jepun dan Taiwan.

Beliau berkata, pembangunan bersepadu dan teratur HSR membawa pembangunan dan kemakmuran yang ketara kepada negara itu.

-Advertisement-

Katanya, seperti dilaporkan dalam media baru-baru ini, HSR Jepun, lebih dikenali sebagai Shinkansen, menjadi sebahagian daripada Pelan Penggandaan Pendapatan Negara yang menjadi Jepun ekonomi kedua terbesar pada tahun 1980-an.

“Dengan adanya HSR, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun meningkat dua kali ganda dalam tempoh tujuh tahun dan kemudian berganda lagi dalam tempoh lima tahun berikutnya.

“Di Taiwan, tumpuan pembangunan HSR menyebabkan diwujudkan Rancangan Daerah Khas HSR yang memperkenalkan pembangunan yang berbeza tema bagi setiap lima stesen di sepanjang jajaran HSR.

“Projek itu menunjukkan petanda positif kerjasama antara pembangunan HSR dan pertumbuhan ekonomi, dengan peningkatan yang ketara dalam petunjuk KDNK, Pelaburan Langsung Asing (FDI), produktiviti dan pembandaran.

Beliau menjelaskan pembangunan HSR di Taiwan menunjukkan KDNK negara itu meningkat sebanyak 38 peratus, manakala FDI bertambah 43 peratus, dan produktiviti serta projek pembandaran masing-masing melonjak 30 peratus dan 11 peratus.

Syed Hamid turut mengambil contoh limpahan manfaat HSR kepada Eropah apabila koridor HSR Paris-Brussels-Cologne melonjakkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.1 peratus bagi Brussels dari 1999 hingga 2004.

“China juga mengambil langkah besar dalam membangunkan HSR, membabitkan jaringan 40,000km yang sedang beroperasi dan 30,000km lagi masih dalam pembinaan.

“China walaupun hanya membina HSR pertamanya pada 2000-an, negara itu kini mempunyai rangkaian HSR terbesar di dunia dalam pembangunan bawah 20 tahun,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373