BPMB tawar skim pembiayaan perniagaan RM5.6 bilion

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) menawarkan lima skim pembiayaan bernilai RM5.6 bilion bagi memudah dan menyokong perniagaan dalam tempoh mencabar akibat COVID-19.

-Advertisement-

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Arshad Mohamed Ismail, berkata skim pembiayaan yang ditawarkan itu adalah tambahan kepada kemudahan perbankan korporat yang ditawarkannya.

“Skim ini ditawarkan pada kadar pembiayaan pilihan yang menyasarkan sektor strategik utama iaitu digitalisasi, kelestarian, maritim & logistik, Pelancongan serta pengangkutan awam.

“Menuju ke hadapan, BPMB akan terus memainkan peranan penting untuk mendukung pemulihan ekonomi Malaysia dengan menyelaraskan strategi bank dengan inisiatif kerajaan terhadap kelestarian, digitalisasi dan inklusiviti,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, BPMB menyatakan sokongan penuh bagi membangunkan kesejahteraan sosio ekonomi rakyat berdasarkan mandat yang diberikan kerajaan kepada Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) untuk menyokong pemulihan negara.

Arshad berkata, komitmen bank berkenaan juga selaras dengan semangat #KeluargaMalaysia seiring dengan strategi pemulihan ekonomi negara ini.

-Advertisement-

Katanya, sebagai antara DFI tempatan, institusi kewangan itu komited melakukan terbaik untuk menyokong pemulihan ekonomi negara.

“Kami memahami bahawa impak COVID-19 dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Pandemik global yang berpanjangan mempengaruhi kita semua iaitu individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengakibatkan pengangguran atau menjejaskan perniagaan.

“Kami tetap teguh untuk membantu mempercepatkan perjalanan pemulihan ekonomi negara. Kami juga menggesa peserta industri memainkan peranan untuk membantu komuniti menghadapi cabaran ini,” katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini menegaskan supaya DFI perlu memainkan peranan penting dan strategik dalam usaha memulihkan serta mengekalkan keupayaan perniagaan untuk menyediakan peluang pekerjaan dan menyokong mata pencarian rakyat. -BH