Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan sederhana semasa awal dagangan pada Selasa susulan aktiviti pengambilan untung yang kecil, selepas dua hari mengalami aliran meningkat.

-Advertisement-

Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 0.76 mata kepada 1,523.19 daripada 1,522.43 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 1.78 mata lebih tinggi kepada 1,524.21.

Lingkungan pasaran kekal positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 265 berbanding 172, sementara 284 kaunter tidak berubah, 1,498 kaunter tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 367.22 juta saham bernilai RM174.50 juta.

Menurut Malacca Securities, penurunan aliran kes COVID-19 harian mungkin mendorong lebih tumpuan daripada peserta pasaran terhadap sektor bertemakan pemulihan.

“Kami yakin minat belian dalam sektor bertemakan pemulihan seperti pengguna; pengangkutan dan logistik; penerbangan dan pelancongan dijangka berterusan.

“Selain itu, saham teknologi mungkin menarik perhatian pelabur susulan prestasi kukuh dalam tempoh semalaman di Wall Street,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Dari segi komoditi, harga minyak sawit mentah dan minyak mentah meningkat kembali, dengan minyak mentah Brent ditutup pada paras lebih AS$68 setong.

-Advertisement-

Sentimen tempatan juga disokong oleh keyakinan dalam musim pelaporan prestasi kewangan korporat.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Petronas Dagangan naik 38 sen kepada RM19.18 manakala Genting Malaysia, Tenaga Nasional, RHB Bank dan Genting Bhd masing-masing naik tiga sen kepada RM2.90, RM9.90, RM5.37 dan RM4.85.

CIMB, Sime Darby dan Dialog pula masing-masing menokok satu sen kepada RM4.69, RM2.17 dan RM2.61.

Bagaimanapun, Maybank turun satu sen kepada RM8.16, sementara Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM3.94 dan RM7.98.

Antara saham aktif, D’nonce Technology menokok satu sen kepada 61.5 sen, MMAG menambah setengah sen kepada 13 sen dan Avillion turun 1.5 sen kepada 14.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 11.74 mata kepada 11,168.36; Indeks FBMT 100 naik 9.82 mata kepada 10,874.95; Indeks FBM Emas Syariah meningkat 13.90 mata kepada 12,258.27; FBM 70 melonjak 30.46 mata kepada 14,740.40 dan FBM ACE menokok 25.09 mata kepada 7,204.21.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 11.24 mata kepada 6,399.14; Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 5.47 mata kepada 14,923.32 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri naik 0.29 mata kepada 189.66.

– Bernama – BH