Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi berbanding semalam.

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu, disokong aktiviti pembelian semasa harga rendah selepas penjualan besar-besaran baru-baru ini dalam keadaan ketidaktentuan pasaran global, kata peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 0.94 mata kepada 1,387.76 daripada 1,386.82 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks utama itu dibuka 1.46 mata lebih tinggi kepada 1,388.28.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 166 berbanding 109, manakala 208 kaunter tidak berubah, 1,875 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 142.22 juta unit bernilai RM63.98 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pembelian semasa harga rendah berlaku ketika peniaga mencari saham pengguna yang bersifat defensif untuk mengharungi turun naik ketara di peringkat global.

“Bagaimanapun, pelabur global mungkin kekal berhati-hati menjelang data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan pada 13 Oktober, dan bursa tempatan dijangka kekal pada kecenderungan negatif tanpa sebarang pemangkin baharu,” jelas firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan.

-Advertisement-

Antara saham wajaran tinggi Bursa, Maybank naik empat sen kepada RM8.48, Public Bank menambah dua sen kepada RM4.22 dan CIMB menokok satu sen kepada RM5.30, manakala Petronas Chemicals turun dua sen kepada RM8.57 dan IHH Healthcare merosot enam sen kepada RM5.59.

Bagi saham aktif, Privasia naik dua sen kepada 13 sen, Tanco dan Vinvest kekal tidak berubah masing-masing pada 30 sen dan 19.5 sen, manakala SNS Network dan Impiana masing-masing menambah setengah sen kepada 25 sen dan dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 9.80 mata kepada 9,910.67; FBM 70 naik 17.90 mata kepada 12,050.67; Indeks FBMT 100 meningkat 8.40 mata kepada 9,663.39; Indeks FBM Emas Syariah susut 15.38 mata kepada 9,895.40 dan FBM ACE menambah 3.72 mata kepada 4,656.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 60.37 mata kepada 15,945.51; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.48 mata kepada 170.11; Indeks Perladangan turun 20.04 mata kepada 6,355.71 serta Indeks Tenaga kurang 2.95 mata kepada 672.81.

-BERNAMA -BH