Bursa Malaysia dibuka rendah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini rendah, mengambil petunjuk daripada sesi tidak menentu semalaman di Wall Street, kata seorang peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.43 mata kepada 1,487.62 daripada 1,495.05 pada penutupan urus niaga Selasa.

Indeks utama berkenaan dibuka pada paras 1,488.58, susut sebanyak 6.47 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 235 berbalas 81, manakala 204 kaunter tidak berubah, 1,715 tidak diniagakan dan 9 yang lain digantung.

Jumlah dagangan yang dicatatkan adalah sebanyak 126.77 juta unit bernilai RM54.76 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street bertukar menjadi tidak menentu apabila Indeks Dow Jones merosot 1.2 peratus selepas data pembukaan kerja pada Jun 2022 jatuh ke paras terendah dalam sembilan bulan, manakala ketibaan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi di Taiwan mencetuskan ketegangan geopolitik antara AS dan China.

Firma pembrokeran itu menambah, pasaran global dijangka mengalami pemulihan yang tidak sekata apabila pelabur mengambil kira akan peningkatan ketegangan AS-China serta beberapa komen yang cenderung ke arah menaikkan kadar faedah daripada beberapa pegawai Rizab Persekutuan (Fed).

Justeru, firma berkenaan berkata ini telah menyebabkan lonjakan dalam hasil bon apabila pelabur lebih terarah kepada kenaikan kadar faedah.

“Namun begitu, kami percaya pembelian berterusan daripada dana asing akan menyokong bursa tempatan,” katanya dalam nota hari ini.

-Advertisement-

Berkenaan pasaran komoditi pula, Malacca Securities berkata minyak Brent diniagakan melebihi paras AS$100 setong, manakala minyak sawit mentah susut di bawah paras sokongan penting iaitu RM4,000 satu tan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank susut empat sen setiap satu kepada RM8.84 dan RM4.62, CIMB turun lima sen menjadi RM5.20, Petronas Chemicals naik tujuh sen untuk mencatatkan harga RM8.92, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.42.

Bagi saham aktif, CSH Alliance dan Borneo Oil tidak berubah pada 5.5 sen dan 2.5 sen, TWL Holdings dan Dagang Nexchange, kedua-duanya naik setengah sen pada 6.5 sen dan 80 sen dan Malaysian Genomics menambah enam sen kepada 77 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah merosot 36.63 mata kepada 10,660.52, Indeks FBM ACE turun 28.67 mata menjadi 4,767.91 danIndeks FBMT 100 menyusut 43.71 mata kepada 10,292.97.

Sementara itu, Indeks FBM Emas menguncup 44.43 mata kepada 10,538.07 dan FBM 70 lemah 22.42 mata untuk merekodkan paras 12,572.08.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 4.97 mata kepada 7,023.08, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.36 mata menjadi 184.08, Indeks Tenaga berkurangan 0.73 mata kepada 657.86, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan lebih rendah sebanyak 80.56 mata kepada 16,570.71.

-BERNAMA -BH