Bursa Malaysia dibuka rendah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa berikutan pengambilan untung terus muncul dalam keadaan prestasi pasaran serantau yang lemah, kata peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.03 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran susut 5.11 mata kepada 1,577.58 daripada 1,582.69 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 2.75 mata lebih rendah kepada 1,579.94.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 194 berbanding 125, manakala 200 kaunter tidak berubah dan 1,729 kaunter tidak diniagakan manakala sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 156.92 juta unit bernilai RM77.75 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata ketegangan yang semakin meningkat di Ukraine juga terus membimbangkan pasaran kerana Purata Perindustrian Dow Jones (Purata DJI) dan niaga hadapan Nasdaq masing-masing merosot 469 mata dan 370 mata.

Wall Street ditutup pada Isnin susulan cuti Hari Presiden Amerika Syarikat.

“Justeru, kami berpandangan pasaran serantau berada dalam aliran berhati-hati hari ini,” katanya.

-Advertisement-

Beliau berkata di peringkat tempatan, FBM KLCI dijangka mengalami sedikit pembelian semasa harga rendah pada bila-bila dalam jangka terdekat susulan penjualan besar-besaran semalam.

“Oleh itu, kami yakin indeks ini akan bergerak dalam julat 1,575 hingga 1,590 hari ini,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM8.77, Public Bank turun dua sen kepada RM4.35, IHH Healthcare kurang empat sen kepada RM6.35, manakala Petronas Chemicals dan CIMB Group masing-masing menokok tiga sen kepada RM9.15 dan RM5.60.

Antara saham aktif, Ta Win Holdings susut setengah sen kepada 17.5 sen, Dagang Nexchange (DNex) turun empat sen kepada RM1.14, manakala Hibiscus Petroleum naik lima sen kepada RM1.18 dan AHB menambah setengah sen kepada 24 sen.

Di papan indeks, FBM ACE turun 28.68 mata kepada 6,141.21; Indeks FBM Emas Shariah susut 43.42 mata kepada 11,948.83; Indeks FBM Emas kurang 35.48 mata kepada 11,286.28; FBM 70 merosot 62.26 mata kepada 13,573.53 dan FBMT 100 menguncup 38.77 mata kepada 10,956.74.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.77 mata kepada 207.76, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 30.77 mata kepada 16,384.07 manakala Indeks Perladangan meningkat 11.32 mata kepada 7,797.14.

– Bernama -BH