Bursa Malaysia meningkat semula

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula ketika memulakan dagangan Rabu selepas mengalami penurunan semalam, walaupun dalam persekitaran ketegangan Rusia dan Ukraine yang kian meruncing dan terus menjejaskan sentimen termasuk di Wall Street yang ditutup rendah, kata peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.06 pagi, indeks petunjuk utama naik 3.75 mata kepada 1,580.71 daripada 1,576.96, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 5.30 mata kepada 1,582.26.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 205 berbanding 153 manakala 227 kaunter tidak berubah, 1,673 tidak diniagakan manakala 18 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 145.38 juta unit bernilai RM84.81 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berpendapat pasaran akan menyaksikan dagangan tidak menentu dan berkemungkinan berterusan dalam masa terdekat susulan satu lagi aktiviti jualan ketara membabitkan prestasi semalaman Wall Street.

“Pada masa sama, pelabur akan turut memberi tumpuan terhadap kadar inflasi Malaysia yang akan diumumkan esok,” katanya dalam nota tinjauan hari ini.

Mengulas sektor yang menjadi tumpuan, firma pembrokeran itu berkata minat belian dijangka melibatkan saham-saham berkaitan logam selain sektor tenaga berikutan peningkatan asas harga minyak mentah Brent serta aluminium.

“Selain itu, kami juga percaya para pelabur berkemungkin menumpukan saham perbankan dan pengguna, di tengah-tengah musim pelaporan pendapatan yang turut berkaitan dengan keadaan pemulihan pada masa ini,” katanya.

-Advertisement-

Bagaimanapun, petunjuk-petunjuk teknikal kekal positif ketika petunjuk pergerakan pembeza purata konvergen (MACD) kekal melepasi paras sifar manakala indeks kekuatan relatif (RSI) melebihi paras 50.

“Paras rintangan sekitar 1,600-1,620 manakala sokongan dijangka pada 1,570,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM8.74, Public Bank meraih satu sen kepada RM4.35, Petronas Chemicals meningkat sembilan sen kepada RM9.23, CIMB Group tidak berubah pada RM5.5 dan IHH Healthcare turun dua sen kepada RM6.28.

Bagi saham aktif, SMTrack kukuh setengah sen kepada 26 sen, MSM Malaysia Holdings turun 19.5 sen kepada 92.5, Hibiscus Petroleum susut dua sen kepada RM1.16.

Kaunter paling untung Kuala Lumpur Kepong (KLK) melonjak 60 sen kepada RM25.60, Malaysian Pacific menambah 42 sen kepada RM35.32 dan United Plantations naik 30 sen kepada RM14.84.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 25.98 mata kepada 11,269.48, Indeks FBMT 100 menambah 25.85 mata kepada 10,946.18, Indeks FBM Emas Syariah meraih 34.13 mata kepada 11,958.11, FBM 70 menokok 31.09 mata kepada 13,418.15 dan FBM ACE meningkat 22.94 mata kepada 6,049.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 25.40 mata kepada 16,293.73, Indeks Produk manakala Perkhidmatan Perindustrian naik 0.56 mata kepada 208.67 dan indeks perladangan meningkat 64.16 mata kepada 7,844.39.

-BERNAMA -BH