Bursa Malaysia terus meningkat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Minat belian yang kembali tertumpu kepada kaunter berwajaran tinggi terpilih berkaitan komoditi, minyak dan gas menyaksikan Bursa Malaysia meneruskan keuntungan yang dicatatkan semalam untuk memulakan urus niaga pagi ini lebih tinggi.

-Advertisement-

Pada jam 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.18 mata kepada 1,553.78 berbanding 1,548.60 pada penutupan urus niaga Selasa.

Indeks utama itu dibuka 5.55 mata lebih tinggi pada 1,554.15.

Di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 213 berbalas 109 manakala 231 kaunter tidak berubah, 1,702 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 344.01 juta unit bernilai RM95.18 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya hari ini, pihaknya menjangkakan pemulihan secara meluas di bursa tempatan akan berlanjutan seiring dengan lantunan semula di Wall Street semalaman selepas pengeluaran data jualan runcit AS pada April dan keyakinan terhadap pelonggaran sekatan pergerakan oleh China.

“Di pasaran komoditi, minyak mentah menyusut sedikit tetapi masih berlegar melepasi paras AS$110 setong.

“Sementara itu, minyak sawit mentah (MSM) bergerak sekitar RM6,150 satu tan metrik. Bantahan petani Indonesia ke atas larangan penjualan eksport minyak sawit mungkin berpotensi menyebabkan kesan ke atas harga MSM,” katanya.

-Advertisement-

Firma penyelidikan itu menambah, minat belian selanjutnya juga dijangka dilihat pada sektor teknologi berikutan kenaikan kukuh Nasdaq semalaman.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing menambah satu sen kepada RM8.96 dan RM4.54, Petronas Chemicals meningkat 10 sen kepada RM10.12, IHH Healthcare naik tujuh sen kepada RM6.50 manakala CIMB menokok dua sen kepada RM5 .08.

Bagi kaunter yang paling meraih keuntungan, Malaysian Pacific Industries dan KL Kepong meningkat 46 sen setiap satu masing-masing kepada RM32.16 dan RM27.16, Petron Malaysia meraih 23 sen kepada RM6.94, Batu Kawan menokok 18 sen kepada RM27.50, dan Gas Malaysia meningkat 15 sen kepada RM3.14.

Di papan indeks, FBM ACE menambah 12.91 mata menjadi 5,376.15, Indeks FBM Emas mengembang 40.73 mata kepada 11,101.14, Indeks FBMT 100 mengukuh 39.31 mata menjadi 10,764.39, Indeks FBM Emas Syariah peroleh 49.75 mata kepada 11,599.02 dan FBM 70 meningkat 62.06 mata menjadi 13,200.91.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 39.55 mata kepada 16,574.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian adalah 0.56 mata lebih tinggi pada 200.98 dan Indeks Perladangan naik 34.62 mata menjadi 8,294.81.

-BERNAMA -BH