CelcomDigi Perluas Program CD untuk Bakat Digital

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA 3 Oktober 2026 (The Capital Post) – CelcomDigi Berhad memperkenalkan fasa baharu inisiatif pembangunan bakat digital CD menerusi tiga program utama yang mengukuhkan kerjasama antara institusi akademik dengan industri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan ekonomi digital negara.

 

Fasa terbaharu inisiatif tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Prof. Azlinda Azman, bagi pihak Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

Tiga program yang diperkenalkan ialah campus@celcomdigi, Young Talent Programme (YTP) dan Certifications Programme. Kesemuanya dirangka untuk menyediakan peluang pembelajaran berasaskan pengalaman, membangunkan kepimpinan bakat muda serta memperluas akses kepada latihan dan kelayakan dalam bidang teknologi baharu.

Menerusi campus@celcomdigi, pelajar berpeluang menghubungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman kerja sebenar melalui pendedahan kepada cabaran perniagaan, bimbingan pengamal industri dan penempatan di persekitaran kerja profesional.

Ketika tahun kedua pengajian, pelajar akan diberi peluang menyelesaikan cabaran perniagaan sebenar sebagai sebahagian daripada kerja kursus, selain menerima bimbingan berterusan daripada pakar industri. Pelajar tahun akhir yang terpilih pula akan menjalani penempatan di kampus khusus CelcomDigi di ibu pejabat syarikat bagi menyertai projek sebenar bersama pasukan berpengalaman.

Program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama empat universiti rakan kongsi, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan HELP University. CelcomDigi menyasarkan penyertaan lebih 300 pelajar setiap tahun melalui penempatan industri bagi pelajar tahun akhir, sebelum memperluas pelaksanaannya ke universiti lain secara berperingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty, berkata kerjasama antara syarikat korporat, universiti dan kerajaan penting bagi memastikan graduan tempatan memiliki kemahiran yang bersesuaian untuk menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi digital.

-Advertisement-

Menurutnya, CD mencerminkan komitmen syarikat untuk terus melabur dalam pembangunan bakat tempatan, selain menyediakan ruang kepada generasi muda untuk mengembangkan kerjaya, berinovasi dan menyumbang kepada kemajuan negara.

Sementara itu, YTP yang diperkenalkan pada 2025 menyediakan laluan pembangunan kerjaya dan kepimpinan selama dua tahun kepada graduan berpotensi tinggi. Program tersebut merangkumi penempatan kerja secara bergilir, bimbingan mentor serta penglibatan dalam projek strategik perniagaan.

Selepas pelaksanaan kohort pertama, program berkenaan kini menerima kumpulan kedua yang terdiri daripada 20 peserta. Mereka akan mengikuti pembangunan kerjaya dalam bidang seperti Kejuruteraan Awan, Keselamatan Siber, Data dan Analitik Perniagaan, Pembangunan Produk Digital serta Kecerdasan Buatan (AI) dan Automasi.

Dalam usaha memperluas pembangunan kemahiran digital, Certifications Programme turut menyediakan peluang mendapatkan kelayakan yang diiktiraf industri dalam bidang AI, realiti lanjutan (XR) dan teknologi baharu lain. Program ini terbuka kepada pelajar sekolah, mahasiswa serta golongan profesional bagi membantu meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mereka.

Melalui pelaksanaan ketiga-tiga program tersebut, CelcomDigi berhasrat menyokong keperluan tenaga kerja dalam ekonomi digital yang terus berkembang, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 serta usaha membangunkan modal insan yang mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan – The Capital Post