Dagangan ringgit dibuka lemah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi urus niaga awal pagi ini berikutan sokongan belian yang lebih kukuh untuk dolar AS, didorong oleh data ekonomi dan pekerjaan negara maju itu yang lebih baik, kata seorang penganalisis.

-Advertisement-

Pada jam 9 pagi, nilai mata wang tempatan jatuh kepada 4.1970/2000 berbanding dolar AS daripada 4.1935/1980 pada penutupan Khamis.

Sejajar dengan data positif itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS (DXY) juga terus meningkat kepada 97.221 mata.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sukuan akhir AS mencatatkan pertumbuhan 6.9 peratus berbanding anggaran konsensus sebanyak 5.5 peratus. Begitu juga, Tuntutan Pengangguran Permulaan, pengukur untuk pasaran buruh turut menunjukkan petanda baik dengan bacaan pada 260,000,” katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau menjelaskan bacaan itu menunjukkan bahawa tidak ramai rakyat AS yang memohon faedah pengangguran minggu lalu berbanding 286,000 pada minggu sebelumnya.

Namun begitu, beliau percaya ringgit seharusnya disokong dengan baik pada paras semasa, memandangkan harga minyak mentah Brent kini berada pada AS$90 setong.

“Tahap sedemikian mencadangkan bahawa kerajaan akan mempunyai cara untuk mengekalkan dasar fiskal mengembangnya yang boleh menjadi positif untuk pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.

-Advertisement-

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam menjangkakan mata wang domestik berbanding dolar AS akan berlegar sekitar RM4.19 hingga RM4.20.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1015/1042 daripada 3.1040/1076 pada penutupan semalam dan meningkat berbanding euro pada 4.6776/6809 berbanding 4.6946/6997 pada Khamis.

Ringgit mengukuh mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6202/6242 daripada 5.6306/6367 dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.6350/6376 daripada 3.6462/6501 sebelumnya.

-BERNAMA -BH