Dortmund singkir Atletico

Estimate Reading Time: < 1 minute

DORTMUND, Jerman: Borussia Dortmund bangkit sebelum menundukkan Atletico Madrid 4-2 pada suku akhir kedua awal pagi tadi, meraih kemenangan agregat 5-4 dan kemaraan ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2013.

-Advertisement-

-Advertisement-

Ketinggalan 2-1 selepas aksi pertama, gol daripada Julian Brandt dan Ian Maatsen membolehkan Dortmund mendahului 2-0 ketika rehat.

Jurulatih pasukan pelawat Diego Simeone melakukan tiga pertukaran pemain ketika rehat termasuk membawa masuk Angel Correa dan kekuatannya terbukti tidak lama kemudian, Mats Hummels menjaringkan gol sendiri sebelum pemain Argentina itu menyumbat gol untuk membantu Atletico kembali mendahului secara agregat.

Namun gol itu menyedarkan semula Dortmund daripada lamunan dengan Niclas Fuellkrug dan Marcel Sabitzer masing-masing meledak gol dalam tempoh tiga minit sekali gus menyaksikan kemaraan kelab Bundesliga itu.

“Ia satu keajaiban. Saya cuba untuk tidak berlebih-lebih ketika temu bual, tetapi ia benar-benar ajaib. Stadium bergema dengan gegak-gempita hari ini,” kata Fuellkrug kepada DAZN.

Bekas juara Dortmund, kelima dalam liga utama Jerman dan bergelut untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan, akan berdepan Paris Saint-Germain bagi merebut tempat ke final di Wembley pada 1 Jun depan.

“Kami memberikan mereka peluang dan gol dalam tempoh 15 minit selepas rehat, kami perlu memperbaiki aspek itu tetapi tindak balas kami terhadapnya amat sensasi,” kata Brandt.

Atletico memburu tempat ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun, namun terkandas pada peringkat suku akhir buat kali ketiga dalam lima musim.

“Ia terlalu sukar,” kata kapten Atletico, Koke kepada Movistar. “Gol mereka menghukum kami – hakikatnya mereka mendapatnya dalam tempoh yang amat pantas.

“Kami marah kerana kami mahu layak. Inilah bola sepak dan ia boleh menjadi kejam terhadap anda.”

-AFP

-BeritaHarian