Dua ahli PKR Pahang dipecat, dipercayai terlibat rasuah

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA- Dua ahli PKR dari Pahang dipecat berkuat kuasa serta-merta hari ini setelah dipercayai terlibat dengan kes rasuah dan suapan ketika pemilihan parti itu, pada tahun lepas.

-Advertisement-

Pemecatan Ketua Cabang PKR Bera Zakaria Abdul Hamid iaitu seorang daripada ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ahli PKR negeri Pahang Ismail Dulhadi diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Ahmad Kassim selepas mesyuarat bulanan PKR, di ibu pejabat PKR hari ini.

Menurut Ahmad, Lembaga Disiplin PKR sebelum ini menerima sepucuk surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 23 Okt berkenaan salah laku berkenaan.

“Setelah berlaku perbincangan (dalam mesyuarat bulanan hari ini) yang panjang dan mendapati terdapat perakuan daripada SPRM, supaya parti mengambil tindakan kepada mereka kerana wujud kesalahan dalam salah laku rasuah,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Ahmad berkata sebagai sebuah parti yang konsisten berjuang untuk membasmi salah laku rasuah dalam kerajaan dan semua peringkat, tindakan itu perlu dilakukan untuk memberikan mesej yang jelas kepada seluruh anggota serta masyarakat bahawa parti tidak akan berkompromi perlakuan itu.

“Oleh itu, MPP hari ini membuat keputusan untuk memecat keanggotaan (Zakaria dan Ismail) yang telah disyorkan oleh Lembaga Disiplin PKR,” katanya.

-Advertisement-

Tambahnya, mengikut prosedur parti, mereka berhak untuk mengemukakan rayuan kepada keputusan pemecatan itu, bagaimanapun beliau enggan memperincikan tentang kes melibatkan Zakaria dan Ismail kerana ia masih dalam siasatan SPRM serta sulit.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata seramai 2,615 perwakilan daripada 221 cabang parti itu layak menghadiri Kongres Nasional PKR yang akan diadakan di Melaka pada 5 Dis ini.

Bagaimanapun beliau berkata, cabang Tanjung Manis, Sarawak yang sepatutnya bermesyuarat pada tiga minggu lepas, telah dikenakan injunksi mahkamah berikutan permohonan ahli, untuk menghalang pemilihan parti daripada diadakan.

“Sehubungan itu PKR telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikan perintah itu dan Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Sarawak menetapkan 28 Nov ini sebagai tarikh pendengaran.

“Asas permohonan kita mengetepi perintah mahkamah tersebut ialah berasaskan Akta Pertubuhan 18C dan perlembagaan PKR iaitu anggota parti tidak boleh membawa perkara parti ke mahkamah.

“Jika sekiranya keputusan berpihak kepada PKR, maka mesyuarat Tanjung Manis diteruskan dan sasaran kita untuk mencapai 222 cabang berdaftar akan tercapai,” katanya.- BERNAMA