Dua bayi ditemui mati dalam peti sejuk di Perancis, wanita ditahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

AILLEVILLERS-ET-LYAUMONT: Polis Perancis menahan seorang wanita berusia sekitar 50-an selepas dua bayi yang baru dilahirkan ditemui mati di dalam sebuah peti sejuk di timur Perancis.

Menurut sumber, kes berkenaan adalah kejadian terbaru disyaki sebagai pembunuhan bayi (infanticide) yang muncul di Perancis sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Selasa lalu, pihak polis dimaklumkan selepas seorang lelaki menemui mayat seorang bayi yang baru dilahirkan di dalam peti sejuk di rumahnya di bandar Aillevillers-et-Lyaumont.

Apabila polis tiba, mereka menemui mayat seorang lagi bayi.

Siasatan awal tertumpu kepada ibu bayi berkenaan yang meninggalkan rumah itu tanpa sebarang makluman.

Wanita itu ditahan di Boulogne-Billancourt, sebuah kawasan pinggir barat Paris, Rabu lalu.

Beliau dipercayai adalah ibu kepada sembilan orang anak hasil daripada dua hubungan berbeza.

Datuk Bandar, Jean-Claude Tramesel, menyuarakan rasa terkejut selepas mengetahui mengenai penemuan itu.

-Advertisement-

“Ia sebuah kampung kecil dengan 1,500 penduduk. Apabila terdengar berita seperti ini, kita selalu fikir ia hanya berlaku di tempat lain, bukan di sini. Kami benar-benar terkejut,” katanya.

Merujuk kepada pasangan berkenaan, Tramesel berkata mereka tinggal di bandar itu selama kira-kira 20 tahun tetapi tidak bekerja di sini.

“Mereka adalah individu yang suka menyendiri,” tambahnya.

Pada 2022, dua bayi yang baru dilahirkan turut ditemui di dalam peti sejuk seorang wanita di selatan Perancis, dengan pendakwa menyatakan kematian mereka bukan disebabkan punca semula jadi.”

Pada 2015, lima mayat bayi ditemui dalam kes serupa, yang menyaksikan ibu mereka dijatuhi hukuman penjara lapan tahun.

Satu lagi kes yang tercatat dalam sejarah perundangan Perancis ialah kes Véronique Courjault, yang dijatuhi hukuman lapan tahun penjara pada 2009 kerana membunuh tiga bayi yang baru dilahirkannya.

-AFP
-BeritaHarian