Dua kadet ALK sambung pengajian di akademi ketenteraan AS

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Dua kadet muda dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) terpilih untuk menyertai latihan di akademi ketenteraan berprestij di Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

-Advertisement-

Kadet Ummi Annur Syahmina Sohaini dan Kadet Muhammad Faidh Izzuddin Mat Sahari, 20, membuktikan kecemerlangan masing-masing apabila menjadi antara 15 calon terpilih daripada 89 negara yang dijemput untuk menyertai pemilihan.

Ummi Annur Syahmina dari Port Dickson, Negeri Sembilan diterima masuk ke Akademi Tentera AS di Colorado, manakala Muhammad Faidh Izzuddin dari Kuala Lumpur diterima masuk ke Akademi Tentera AS di West Point, New York.

Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D McFeeters, berkata kedua-kedua kadet muda itu diumpamakan sebagai generasi yang mewakili masa depan, kemakmuran dan keselamatan bersama antara dua negara Malaysia dan AS.

“Sejak 1971, seramai 39 rakyat Malaysia menamatkan pengajian di Akademi Ketenteraan di AS dan pada masa ini terdapat lapan kadet dari Malaysia yang sedang menyambung pengajian di akademi ketenteraan di AS.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, dan agensi-agensi ketenteraan Malaysia yang lain atas sokongan dan kerjasama mereka dalam mengukuhkan hubungan antara akademi ketenteraan di Amerika Syarikat dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis meraikan kemasukan Ummi Annur Syahmina dan Muhammad Faidh Izzuddin ke akademi ketenteraan AS di kediaman rasmi Duta AS, di sini, hari ini.

Turut hadir, Komandan ALK, Mejar Jeneral Datuk Saadon Hasnan dan Ketua Pejabat Kerjasama Pertahanan, Leftenan Kolonel Lemar Farhad.

Katanya, hubungan akademi ketenteraan di antara Malaysia dan AS sudah wujud sejak lebih 40 tahun lalu dan perkara itu harus dikekalkan.

Justeru, katanya, ia menjadi penghubung penting antara kedua-dua negara kita dan mengukuhkan hubungan sesama rakyat sambil mempromosikan kesalingoperasian masa depan.

-Advertisement-

“Misi akademi ketenteraan AS adalah untuk memberikan pendidikan dan pengalaman kepada semua kadet supaya mereka lulus dengan pengetahuan dan memiliki karakter yang penting sebagai pemimpin dan motivasi untuk menjadi pegawai tentera bekerjaya.

“Program kepimpinan, akademik dan persediaan yang menyeluruh diperlukan untuk memenuhi piawaian tinggi kemasukan ke Akademi Tentera melalui persaingan sengit yang mana hanya segelintir dapat diterima masuk,” katanya.

Beliau berkata, Kadet Ummi Annur Syahmina dan Muhammad Faidh Izzuddin dipilih selepas proses pemilihan yang ketat yang menilai potensi kepimpinan, kecergasan fizikal dan pencapaian akademik mereka.

Dalam majlis ini, Duta Besar McFeeters turut mengucapkan tahniah kepada dua kadet dari Malaysia yang baharu menamatkan pengajian di akademi ketenteraan AS iaitu Kadet Grace Sian dan Kadet Kanan Muhammad Aniq Hilman Haslimi masing-masing menamatkan pengajian mereka di Akademi Tentera Laut AS dan Akademi Tentera Udara AS.

Sementara itu, Saadon dalam ucapannya berkata terdapat ramai pegawai tentera menerima latihan akdemi tentera di AS kini berada dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Mereka menjadi pegawai yang cemerlang kerana modul latihan yang dijalani dan cara mereka dididik sebagai seorang tentera dalam akademi adalah yang terbaik.

“Ini akan membantu ATM mempunyai pelapis pegawai kanan yang terbaik dan dilengkapi dengan pengetahuan, kualiti kepimpinan dan sedia menjalankan khidmat dengan ikhlas demi negara,” katanya.

Ummi Annur Syahmina yang akan berlepas ke AS pada 18 Jun ini akan menyambung Ijazah Sarjana Muda Penyelidikan Operasi dan Sains Data, manakala Muhammad Faidh Izzuddin pula akan berlepas pada 20 Jun ini untuk mengikuti kursus Kejuruteraan Elektrikal peringkat Ijazah Sarjana Muda.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373