Ekonomi ASEAN diunjur atasi pertumbuhan global

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Ekonomi ASEAN terdiri dari enam negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam, dijangka berkembang pada kadar 4.2 peratus pada 2023, mengatasi unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global sebanyak 2.0 peratus.

-Advertisement-

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata pertumbuhan itu, yang diunjurkan oleh pasukan penyelidiknya, menunjukkan kekuatan rantau itu adalah pada kepelbagaiannya.

Beliau berkata, dengan gabungan populasi melebihi 660 juta dan KDNK terkumpul hampir AS$3.66 trilion (RM16.98 trilion) pada 2022, ASEAN adalah sebagai ekonomi serantau ketiga terbesar di Asia dan ekonomi kelima terbesar di dunia, selepas Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan Jerman.

“Daya tahan ASEAN terbukti dalam aliran dana portfolio. Walaupun pelabur asing menarik diri daripada ekuiti tahun lalu, terdapat pangkalan pelabur domestik yang cukup besar di rantau ini untuk menyerap ketidakstabilan itu.

“Berserta campur tangan bank pusat untuk memastikan mata wang stabil, kebanyakan pasaran ASEAN mendapati diri mereka cukup terlindung dengan baik,” katanya berucap pada Maybank Invest ASEAN 2023 yang diadakan di Singapura, hari ini.

Khairussaleh berkata, satu lagi bidang yang optimis bagi ekonomi rantau ini ialah pendigitalan, khususnya dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Beliau berkata, ekonomi digital pada masa ini hanya menyumbang 7.0 peratus daripada KDNK ASEAN berbanding 35 peratus di AS dan 16 peratus di China.

Justeru, katanya rantau ini masih mempunyai banyak ruang untuk berkembang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Banking Group (MIBG), Michael Oh-Lau, berkata prospek aktiviti meraih dana menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di rantau ASEAN dijangka menarik pada separuh kedua tahun ini.

-Advertisement-

Beliau berkata, penilaian kini mencecah paras yang menarik bagi pelabur penaja untuk bertindak dan pihaknya sudah mula melihat aktiviti IPO di Indonesia terutama berkaitan rantaian bekalan kenderaan elektrik (EV).

Katanya, MIBG juga melihat peningkatan semula terhadap sektor berkaitan pengguna, yang mana pada tahun lalu, di Malaysia, menyaksikan IPO besar membabitkan pengeluar produk tenusu.

“Berikutan kembalinya kestabilan, kami fikir terutama pada separuh kedua akan menjadi tempoh masa menarik. Boleh lihat banyak syarikat masuk ke pasaran,” katanya pada sidang media hibrid.

Mengenai prospek aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A), Oh-Lau berkata, tinjauan adalah positif memandangkan penilaian sangat menarik pada masa ini dan peluang adalah meluas.

Beliau berkata, inisiatif pasaran modal yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meningkatkan kerancakan dan daya saing pasaran modal tempatan.

Katanya, ia menunjukkan usaha kerajaan merangsang pasaran tempatan dan satu perkembangan yang menarik.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373