KUALA LUMPUR 28 September 2026 (The Capital Post) – Festival Gema Siswa 2026 ASWARA bakal berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Oktober ini di Kampus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dengan pelbagai pengisian yang mengetengahkan kreativiti serta bakat pelajar dalam bidang seni dan budaya.
Festival yang berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam itu menyediakan pelbagai aktiviti termasuk forum dan bual bicara, pertandingan serta anugerah, selain masterclass dan bengkel yang memberi ruang kepada peserta memperluas pengetahuan serta kemahiran dalam bidang berkaitan.
Selain itu, program berkenaan turut menampilkan rakaman dan tayangan, persembahan pentas serta pameran dan jualan bagi memeriahkan lagi penganjuran festival.
-Advertisement-
Festival Gema Siswa 2026 turut menjadi platform pembangunan bakat secara holistik yang menggabungkan aspek kepimpinan, kemahiran insaniah dan transformasi digital dalam kalangan warga ASWARA.
Penganjuran festival itu diharap dapat menyediakan ruang kepada bakal penggerak industri seni dan budaya untuk mengetengahkan kreativiti serta bakat mereka menerusi pelbagai bentuk persembahan dan aktiviti yang disediakan.
Orang ramai dijemput hadir ke Kampus ASWARA sepanjang festival berlangsung bagi menyaksikan pelbagai program yang dianjurkan, selain mendapatkan maklumat lanjut menerusi kod QR yang disediakan pada poster rasmi festival – The Capital Post