Malaysia, Arab Saudi Tukar Pandangan Mengenai Perkembangan Semasa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 28 September 2026 (The Capital Post) – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerima panggilan telefon daripada Menteri Pertahanan Kerajaan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman Al Saud, bagi membincangkan perkembangan semasa yang menjadi perhatian bersama.

Menerusi perbualan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkembangan dan isu semasa, selain menyentuh perkara berkepentingan bersama. Perbincangan itu turut mencerminkan hubungan yang terus terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi.

Mohamed Khaled berkata Arab Saudi kekal sebagai rakan penting Malaysia dalam dunia Arab dan Islam, selain kedudukannya sebagai Penjaga Dua Masjid Suci di Makkah dan Madinah.

Menurut beliau, Putera Khalid turut berkongsi perkembangan serta cabaran semasa yang dihadapi Arab Saudi, yang kemudiannya diambil maklum oleh Malaysia.

-Advertisement-

Malaysia, katanya, akan terus berhubung rapat dengan Arab Saudi bagi melihat ruang yang bersesuaian untuk menyumbang, termasuk dalam perkara yang berkaitan dengan perkembangan semasa yang dibincangkan.

Beliau turut menyampaikan harapan agar kesejahteraan Arab Saudi terus terpelihara serta segala konflik yang berlaku dapat diselesaikan secepat mungkin – The Capital Post