FKRK 2026 Hidupkan Semula Warisan Seni Budaya Kelantan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA BHARU 12 Julai 2026 (The Capital Post) – Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 berjaya menyemarakkan keunikan seni, budaya dan warisan negeri menerusi pelbagai persembahan tradisional, aktiviti interaktif serta pengisian kebudayaan yang berlangsung di Jeti Pelancongan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.

Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Nasrom Travel Sdn. Bhd., berlangsung dari 1 hingga 4 Julai 2026 dengan sokongan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh serta Majlis Daerah Pasir Puteh.

Majlis perasmian festival disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud bersama Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot. Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YB Datuk Kamarudin bin Md. Nor serta Ketua Pengarah JKKN, YBrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris.

FKRK 2026 mengetengahkan pelbagai elemen seni budaya yang menggambarkan identiti serta kekayaan warisan masyarakat Kelantan. Antara acara utama yang menjadi perhatian ialah persembahan khas “Titih Bonda Pusaka Ayahanda” yang menggabungkan seni pergendangan pelbagai kaum sebagai simbol keharmonian dan kepelbagaian budaya negara.

Persembahan tersebut menampilkan barisan penggiat seni terkenal termasuk Roy Kapilla, Amy Search, Datuk Dr. Lim Swee Tin, Paksu Agil, Megat Haikal, Zamry Gerak Khas, Joe Rajuna, Kumpulan Dikir Barat Kala Mahajara serta Kumpulan Mak Yong Kijang Mas.

Sepanjang festival berlangsung, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai pertandingan dan aktiviti kebudayaan seperti Pertandingan Tarian Irama Tradisional Kanak-Kanak, Pertandingan Mek dan Awe Comey, Pertandingan Masakan ADABI, Pertandingan Gubahan Sirih Junjung Kelantan, Pertandingan Pulut Tradisi serta Pertandingan Permainan Tradisional.

Selain itu, JKKN Kelantan turut mempersembahkan demonstrasi seni dan budaya rakyat termasuk permainan Gasing Uri, pembuatan wau tradisi serta ukiran emas. Pengunjung juga dapat menikmati persembahan fragmen seni tradisional seperti Wayang Kulit, Mak Yong, Main Teri dan Menora.

Festival berkenaan turut dimeriahkan dengan jualan produk kraf tempatan, pameran agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain program Kelantan Berselawat yang dianjurkan bagi mengimarahkan malam Jumaat.

-Advertisement-

Keistimewaan FKRK 2026 turut terserlah menerusi pengisian kenduri rakyat atau bekwoh, perarakan Perahu Kolek Berhias dengan motif ukiran awan larat serta Wakaf Seni Budaya yang menyediakan ruang persembahan, pameran dan perkongsian ilmu berkaitan warisan tempatan.

Antara pengisian menarik di Wakaf Seni Budaya ialah sesi bertajuk “Kearifan Tempatan di Alam Kecil Rumah Kelantan Tiang 12” yang mengetengahkan pengetahuan serta nilai budaya masyarakat Kelantan.

Festival tersebut turut menjadi platform memperkenalkan Rebana Ubi Inovasi, iaitu produk baharu hasil penyelidikan sejak 2022 yang direka lebih ringan, mudah dipasang, praktikal dan mampu dimiliki bagi memastikan warisan alat muzik tradisional itu terus berkembang dalam kalangan generasi muda.

Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot berkata, penganjuran FKRK 2026 melalui slogan “Pakat Maghi Belako, Tengok Mene Kito” bukan sahaja berperanan memelihara warisan seni budaya, malah turut memperkukuhkan perpaduan masyarakat serta menyokong agenda Malaysia MADANI dan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Menurut beliau, festival tersebut mencerminkan usaha berterusan MOTAC dan JKKN dalam menjadikan warisan budaya sebagai aset pelancongan bernilai tinggi yang mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Penganjuran FKRK 2026 membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan seni dan budaya tradisional Kelantan terus dipelihara, diperkenalkan kepada masyarakat serta diwarisi oleh generasi akan datang sebagai khazanah negara. – The Capital Post