Gaji turun 9% tahun lalu, tertinggi dalam 10 tahun

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Purata gaji dan upah bulanan menurun 9% tahun lalu, kemerosotan pertama sejak Jabatan Perangkaan mula melakukan tinjauan tahunan itu pada 2010.
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, berkata purata gaji dan upah bulanan menurun kepada RM2,933 tahun lalu berbanding RM3,224 pada 2019.

-Advertisement-

Katanya, penurunan itu disebabkan pasaran buruh negara mengalami momentum tidak menentu dan waktu operasi perniagaan terhad berikutan krisis kesihatan serta kesan ekonomi.

Beliau berkata, semua sektor mencatatkan penurunan dalam purata gaji dan upah bulanan, dengan tiga sektor merekodkan penurunan dua digit, iaitu pertanian (-20%), perlombongan dan pengkuarian (17.7%) dan pembinaan (-10.4%).

“Manakala sektor perkhidmatan dan pembuatan merekodkan pengurangan purata gaji dan upah bulanan masing-masing sebanyak 9.4% dan 2.8%,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2020 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan hari ini, purata gaji dan upah bagi pekerja mahir adalah RM4,619 tahun lalu berbanding RM5,072 pada 2019.

Katanya, walaupun pengurus menerima purata gaji dan upah tertinggi, iaitu RM6,479, diikuti profesional (RM5,301), juruteknik dan profesional bersekutu (RM3,313).

-Advertisement-

“Bagaimanapun, nilai purata yang diterima pengurus mencatatkan penurunan terbesar berbanding tahun sebelumnya RM8,855.”

Beliau berkata, purata gaji dan upah bulanan bagi kawasan bandar dan luar bandar turut merosot tahun lalu, iaitu masing-masing 9.3% kepada RM3,089 dan 5.5% kepada RM2,086.

Katanya, semua negeri turut mencatatkan penurunan purata gaji dan upah bulanan berbanding 2019.

“Mengikut negeri, purata gaji dan upah bulanan tertinggi diterima pekerja di Putrajaya (RM4,497), diikuti Kuala Lumpur (RM3,823), Selangor (RM3,480), Negeri Sembilan (RM3,013) dan Labuan (RM2,942).”-FMT