Harga minyak sawit susut hampir 30 peratus bulan ini

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Kejatuhan harga minyak mentah, minyak kacang soya (SBO), serta tindakan kerajaan Indonesia melaksanakan penarikan semula larangan eksport adalah antara punca penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) ketika ini.

-Advertisement-

Harga MSM yang berada pada paras kira-kira RM6,300 satu tan pada awal bulan ini, kini diniagakan pada paras kira-kira RM4,450, penurunan hampir 30 peratus.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata kebimbangan berlakunya krisis ekonomi di Amerika Syarikat (AS) ekoran tindakan agresif AS yang telah meningkatkan kadar faedah, dikhuatiri boleh menjejaskan permintaan minyak mentah, sekali gus mempengaruhi pergerakan harga minyak makanan termasuk sawit.

Katanya, sentimen pasaran ini telah menyebabkan kejatuhan harga petroleum di pasaran dunia yang berhubung secara positif dengan harga SBO dan MSM.

“Harga minyak mentah telah susut kepada AS$119.67 setong pada 22 Jun 2022 berbanding paras tertingginya pada 8 Mac 2022 iaitu AS$139.85 setong atau penurunan sebanyak 14.4 peratus .

“Harga kacang soya pula telah menurun kepada AS$1,720 satu tan pada 22 Jun 2022 berbanding harga tertingginya iaitu AS$2,088 satu tan pada 29 April 2022 atau menurun sebanyak 17.6 peratus .

“Selain itu, kelemahan permintaan eksport ke China juga telah menyumbang kepada kelemahan harga minyak sayuran dunia termasuk MSM. Kerajaan China telah melaksanakan tempoh berkurung selama dua bulan ketika ini bagi menangani masalah penularan COVID-19 di negaranya. Faktor ini telah menyebabkan permintaan terhadap penggunaan minyak sayuran telah berkurangan ketika ini di China,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada BH ketika dihubungi semalam, mengulas mengenai penurunan ketara harga MSM dalam kadar yang cepat bulan ini.

Dr Ahmad Parveez berkata, tindakan kerajaan Indonesia melaksanakan penarikan semula larangan eksport terhadap minyak sawit pada 23 Mei 2022 dan mengurangkan kadar levi untuk eksport MSM kepada AS$200 satu tan daripada AS$375 satu tan bermula 14 Jun 2022 sehingga 31 Julai 2022 telah menyumbang kepada lambakan minyak sawit di pasaran dunia.

“Tindakan ini dilaksanakan oleh kerajaan Indonesia bagi meningkatkan eksport minyak sawitnya dan seterusnya mengurangkan masalah lambakan stok minyak sawit yang tinggi di dalam negara.

“Sentimen pasaran ini juga telah turut menyumbang kepada penurunan harga MSM di pasaran ketika ini,” katanya.

Harga MSM telah menunjukkan arah aliran penurunan bermula 7 Jun 2022 iaitu daripada RM6,753.50 satu tan kepada RM5,046.00 satu tan pada 22 Jun 2022 atau menurun sebanyak 25.3 peratus dalam tempoh lebih kurang dua minggu sahaja.

-Advertisement-

Harga awalan MSM juga terus mencatatkan penurunan kepada RM4,767.00 satu tan pada 23 Jun 2022.

Mengulas lanjut Ahmad Parveez berkata, dari segi prospek, beliau menjangkakan harga MSM akan kekal sekitar RM5,000 satu tan untuk tempoh terdekat ini.

“Bagaimanapun kita perlu melihat juga perkembangan terbaru yang berlaku di Ukraine dan juga reaksi daripada kerajaan Indonesia,” katanya.

Indonesia menghentikan eksport minyak masak dan minyak sawit mentah ke luar negara bermula 28 April lalu sebagai sebahagian usaha mengatasi masalah kekurangan bekalan dan peningkatan harga minyak boleh dimakan itu di republik berkenaan.

Larangan itu bagaimanapun ditarik semula oleh kerajaan Indonesia selepas hampir sebulan arahan larangan mengeksport berkenaan dikeluarkan.

Sementara itu Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa, berkata penurunan harga MSM antaranya disumbangkan oleh peningkatan kelulusan permit eksport dari Indonesia dan kejatuhan berterusan dalam harga minyak kacang soya.

Selain itu katanya, tinjauan yang dibuat mendapati bekalan sawit yang lebih tinggi dan eksport Malaysia yang lebih rendah turut menjadi faktor penurunan berkenaan.

“Ia diburukkan lagi oleh kelemahan dalam perdagangan minyak mentah susulan jangkaan pemulihan ekonomi yang perlahan dan prospek aliran eksport dari Ukraine dan Rusia melalui koridor selamat hasil daripada rundingan

“Semua faktor yang digabungkan ini telah memberi tekanan kepada niaga hadapan MSM,” katanya.

Ditanya mengenai prospek harga MSM, beliau berkata, berdasarkan penilaian oleh Palm Oil Analytics, pada asasnya bulan aktif niaga hadapan MSM dijangka pada paras RM4500 hingga RM5,000 satu tan pada bulan Jun dan Julai ini.

-BH