KUALA LUMPUR 30 Julai 2026, (The Capital Post) – Harga runcit beberapa jenis bahan api termasuk RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi mengalami kenaikan sebanyak 20 sen seliter bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos 2026.
Berdasarkan pelarasan harga terkini, harga RON97 meningkat kepada RM4.40 seliter berbanding RM4.20 seliter sebelum ini, manakala harga RON95 tanpa subsidi naik kepada RM3.82 seliter.
Bagi petrol bersubsidi RON95 melalui inisiatif BUDI95, harga kekal pada RM1.99 seliter, sementara petrol bersubsidi di bawah SKPS turut kekal pada kadar RM2.05 seliter.
Sementara itu, harga diesel tanpa subsidi meningkat kepada RM4.62 seliter. Harga diesel bersubsidi SKDS kekal pada RM2.15 seliter, manakala diesel BUDI Diesel terus ditetapkan pada RM2.10 seliter.
-Advertisement-
Kerajaan MADANI memaklumkan pendekatan berhemah akan terus dilaksanakan dalam menangani perubahan harga bahan api, dengan memberi keutamaan kepada perlindungan rakyat serta memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
Pelarasan harga runcit bahan api ini dibuat berdasarkan mekanisme penetapan harga yang mengambil kira perubahan pasaran semasa, di samping mengekalkan bantuan subsidi bersasar kepada golongan yang layak. – The Capital Post