Harimau kumbang akhirnya masuk perangkap selepas dua bulan

Estimate Reading Time: < 1 minute

REMBAU: Selepas kira-kira dua bulan memasang perangkap, seekor harimau kumbang jantan akhirnya tertangkap di kawasan semak dekat Kampung Kendong, Kota, di sini, Sabtu lalu.

-Advertisement-

Perangkap dengan umpan anak kambing itu dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan susulan aduan setempat mengenai kehadiran binatang buas itu.

Pengarah PERHILITAN Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, haiwan dengan nama saintifik Panthera pardus yang dianggarkan seberat 50 kilogram (kg) itu dipercayai memasuki perangkap pada Sabtu lalu.

“Susulan daripada aduan penduduk kampung sebelum ini, pihak PERHILITAN memasang perangkap di kawasan semak di kampung berkenaan sejak kira-kira dua bulan lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nurul Ermi berkata, terdapat kawasan hutan tidak jauh dari semak berkenaan, selain terdapat kawasan penempatan dan kandang ternakan serta kebun kecil-kecilan milik penduduk berhampiran lokasi perangkap.

“Sebelum ini penduduk membuat aduan melihat kelibat harimau kumbang berkenaan dan difahamkan haiwan itu juga membaham ternakan penduduk. Hasil siasatan lokasi, kami syaki wujud kehadiran haiwan berkenaan di lokasi sebelum memasang perangkap,” katanya.

Beliau juga berkata, haiwan itu dibawa ke Ibu Pejabat Perhilitan Negeri Sembilan sebelum diberikan rawatan lanjut oleh doktor veterinar PERHILITAN dan akan dilepaskan ke habitat asal yang jauh dari kawasan penempatan.

-Advertisement-

Katanya, harimau kumbang adalah haiwan yang gemar bersendirian khususnya harimau jantan dan mempunyai kawasan pemburuan yang dikawalnya sendiri.

“Jika penduduk masih ternampak kelibat haiwan ini, kami nasihatkan supaya membuat aduan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Harimau kumbang jantan dewasa dianggarkan seberat 50 kg masuk ke perangkap dipasang Perhilitan di kawasan semak dekat Kampung Kendong, Kota, di sini, pada Sabtu.

– Foto ihsan pembaca

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373