KUALA LUMPUR: Honda Malaysia hari ini mengumumkan kemas kini produk proaktif membabitkan kira-kira 36,000 unit Civic, Civic Type R dan CR-V.
Honda Malaysia dalam satu kenyataan berkata, aktiviti ini adalah untuk mengemaskini kotak gear Electric Power Steering (EPS).
Ia berkata, roda kotak gear EPS boleh membengkak dan mengurangkan ketebalan filem gris, menyebabkan bunyi stereng yang tidak normal atau melekit.
Katanya, model yang terbabit termasuk Civic tahun 2022-2024, Civic Type-R tahun 2023-2024, dan CR-V tahun 2024.
“Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa model pengeluaran dan jualan semasa yang lain tidak terjejas dalam kemas kini produk ini.
“Syarikat percaya kemas kini produk proaktif ini perlu kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan Honda Malaysia.
“Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan, yang akan menyertakan butiran mengenai kemas kini produk,” katanya.
Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terlibat dalam kemas kini ini untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temu janji setelah menerima pemberitahuan, untuk membolehkan kenderaan mereka diperiksa dan/atau dibaiki jika perlu.
Honda Malaysia akan menanggung kos pemeriksaan, pembaikan atau penggantian bahagian yang terjejas dalam aktiviti ini.
Stok gantian akan tersedia secara berperingkat mulai Disember 2024.
-BeritaHarian