Hong Kong kurangkan jumlah kerusi dipilih pada pilihan raya tempatan

Estimate Reading Time: 2 minutes

HONG KONG: Badan perundangan Hong Kong, hari ini, sebulat suara mengundi untuk merombak pilihan raya peringkat daerah dengan mengurangkan secara drastik kerusi yang dipilih secara langsung oleh orang ramai.

-Advertisement-

Pengkritik menyifatkan ia sebagai tindakan menghapuskan beberapa sisa terakhir kebebasan demokrasi yang ada di bandar diperintah China itu.

Di bawah Rang Undang-Undang (RUU) pindaan itu, hanya 88 kerusi akan ditentukan menerusi pilihan orang ramai, turun berbanding 452 kerusi seperti dalam pilihan raya 2019, yang menyaksikan kemenangan besar oleh kem demokrasi.

Jumlah kerusi keseluruhan juga akan dikurangkan daripada 479 kepada 470.

RUU itu akan menyekat pembangkang demokratik Hong Kong, dengan undang-undang keselamatan negara diperkenal China sebelum ini telah membawa kepada penahanan bekas penggubal undang-undang, ahli majlis daerah serta pembubaran beberapa parti politik demokratik, termasuk Civic Party.

Berikutan protes antikerajaan pada 2019, China mengenakan undang-undang keselamatan negara pada 2020 untuk dikategorikan sebagai jenayah terhadap tindakan subversif, pemisahan, keganasan atau pakatan sulit dengan kuasa asing, yang memperuntukkan hukuman sehingga penjara seumur hidup.

Naib Pengerusi Majlis Daerah Tuen Mun, Lemon Wong dan seorang daripada pro-demokrasi menyatakan perubahan dibuat itu memberi makna kem pro-demokrasi akan kalah pada pilihan raya.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk menikmati baki enam bulan karier saya sebagai ahli majlis, kerana sukar mempertahankan kedudukan selepas ini,” kata Wong.

Calon yang ingin bertanding pada pilihan raya perlu lulus pemeriksaan latar belakang keselamatan negara dan memperoleh sekurang-kurangnya tiga pencalonan daripada beberapa jawatankuasa, sekali gus dilihat menghalang penyertaan penyokong kumpulan pembangkang demokrasi.

-Advertisement-

Biarpun majlis daerah tertumpu terutama pada isu peringkat komuniti, seperti membersihkan jalan dan perhentian bas, pihak berkuasa Beijing dan Hong Kong berkata, mereka mahu memastikan hanya ‘patriot’ boleh bertanding pada pilihan raya majlis daerah akan datang.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, berkata pada Mei, pihaknya akan menutup segala kelemahan dalam sistem untuk menghalang majlis daerah daripada menjadi platform untuk merusuh, menuntut kemerdekaan Hong Kong dan kemusnahan semua.

Bagi baki kerusi yang tidak dipertandingkan, 40 peratus akan dilantik oleh ketua bandar dan 27 kerusi ex-officio akan kekal.

Sebanyak 40 peratus lagi akan dipilih dalam jawatankuasa di setiap daerah merangkumi isu-isu seperti jenayah dan keselamatan kebakaran, dengan ahli jawatankuasa terbabit akan dipilih oleh pegawai kanan kerajaan Hong Kong.

China sudah menjanjikan hak mengundi untuk Hong Kong di bawah perlembagaan mininya, Undang-Undang Asas.

Ahli politik pro-demokrasi memenangi 388 daripada 452 kerusi majlis daerah ketika pilihan raya majlis daerah terakhir pada 2019, mengambil hampir 90 peratus kerusi sekali gus memalukan kem pro-Beijing.

– REUTERS

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373