SHAH ALAM, 14 Mei 2026 (The Capital Post) – Ahli Parlimen Subang, YB Wong Chen, mengkritik jawapan rasmi Kerajaan Selangor berhubung persoalan mengenai pembangunan tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, dengan menyifatkan respons tersebut sebagai tidak memadai dan gagal menjawab isu utama berkaitan transaksi tanah.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Wong berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, telah mengemukakan soalan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, semasa sidang Dewan Undangan Negeri mengenai kronologi dan pemindahan hak milik tanah seluas 169 ekar berhampiran rizab Hutan Simpan Ayer Hitam.
Menurut beliau, Chua meminta penjelasan terperinci mengenai sejarah transaksi, harga jual beli, anggaran kos pemerolehan semula serta bagaimana tanah tersebut dinyahwartakan dan dipindahkan daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) kepada Perano Properties Development Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Wong mendakwa jawapan bertulis yang diberikan kerajaan negeri hanya menyentuh sejarah pewartaan kawasan hutan simpan itu tanpa menjelaskan secara khusus mengenai urusan transaksi dan pemindahan pemilikan tanah berkenaan.
Dalam jawapan rasmi tersebut, kerajaan negeri memaklumkan bahawa Hutan Simpan Ayer Hitam telah diwartakan pada 23 November 1906 dengan keluasan asal 4,550.20 hektar dan kini berkeluasan 1,159.81 hektar susulan beberapa siri pewartaan keluar yang berlaku sejak penubuhannya.
Jawapan itu turut menyatakan bahawa pada tahun 1926, Kerajaan Negeri Selangor meluluskan pewartaan keluar sebahagian kawasan Hutan Simpan Ayer Hitam seluas 64.75 hektar untuk dijadikan tanah kerajaan bagi tujuan pembangunan.
Kerajaan negeri turut menjelaskan bahawa perkara berkaitan anggaran kos pemerolehan semula, proses nyahwarta serta pemindahan pemilikan tanah berada di luar bidang kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Wong turut menyamakan jawapan tersebut dengan sitkom politik British terkenal “Yes Minister”, sambil menyindir bahawa respons diberikan tidak menjawab persoalan sebenar yang dibangkitkan.
“Secara ringkas, YB Chua Wei Kiat meminta butiran sejarah dan transaksi bagaimana tanah itu dijual oleh badan kerajaan negeri, PNSB, kepada pemaju Perano, tetapi apa yang diterima hanyalah kronologi ringkas sejarah tanah hutan dari tahun 1906 hingga 1926,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa penduduk di kawasan Kinrara dan Subang kemungkinan besar tidak akan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan kerajaan negeri.
Isu pembangunan berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam sebelum ini mendapat perhatian awam susulan kebimbangan berkaitan pemuliharaan alam sekitar, ketelusan urusan tanah dan pembangunan pesat di Selangor. – The Capital Post.