´Ikan darat´ lubuk rezeki pada musim tengkujuh

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU- Tengkujuh paling dinantikan penggemar ‘ikan darat’ atau ikan sungai ekoran lambakan hasil aktiviti memukat di kawasan dinaiki air malah ianya menjadi sumber pendapatan sampingan segelintir penduduk.

-Advertisement-

Permintaan tinggi kepada pelbagai jenis ikan air tawar pada musim tengkujuh membolehkan seorang pesawah padi Rosli Ripin, 50, meraih pendapatan sehingga RM500 sehari dengan menjual ikan sungai.

Rosli berkata beliau sentiasa menganggap tengkujuh atau musim bah ini sebagai rahmat bagi beliau bersama lima anak dan isteri kerana dapat berniaga ikan sungai di Jalan Pasir Mas-Salor sejak 20 tahun lalu.

“Walaupun ketika musim ini saya sudah tidak turun ke bendang, namun sedikit sebanyak dengan berniaga ikan sungai ini ia dapat menjana pendapatan sampingan saya untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya ketika ditemui di gerai menjual ikannya di Jalan Pasir Mas-Salor di sini hari ini.

Beliau berkata selain memukat sendiri, bekalan ikan turut diperoleh daripada 10 orang pembekal di sekitar daerah ini yang mencecah sehingga 50 kilogram (kg) sehari.

Katanya pelbagai jenis ikan yang diperolehi antaranya patin, keli, baung, haruan, lampam dan paling mendapat sambutan adalah toman galang namun ianya sukar diperolehi.

-Advertisement-

“Setiap jenis ikan dijual dengan harga berbeza bermula RM10 sekilogram dan boleh mencecah sehingga RM25 sekilogram bergantung kepada jenis ikan dan biasanya ia habis dijual sebelum jam 2 petang,” katanya.

Seorang pelanggan yang ditemui, Zakaria Dolah, 81, berkata beliau amat gemar ikan sungai yang dijual pada musim ini kerana rasanya yang lemak dan ikan air tawar ini mempunyai baunya yang tersendiri.

“Sesetengah orang tidak menggemari ikan jenis ini, namun ia menjadi kegemaran saya dan keluarga. Saya tidak melepaskan peluang untuk membelinya setiap kali tiba musim tengkujuh.

“Ikan sungai ini sememangnya enak untuk dibuat juadah apa sahaja kerana rasanya yang lemak, walaupun hanya digoreng begitu sahaja. Ia amat menyelerakan apabila dimakan dengan nasi panas,” katanya.- BERNAMA