Inovasi SnET 2.0 SK Seri Permai 10 teratas terbaik dunia

Estimate Reading Time: 2 minutes

BAYAN LEPAS: Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di Bayan Baru di sini, mengharumkan nama negara apabila berjaya tersenarai dalam 10 sekolah terbaik bagi kategori inovasi menerusi Anugerah World Best School Prizes (WBSP) 2023.

-Advertisement-

Anugerah pendidikan berprestij anjuran T4 Education berpangkalan di United Kingdom itu membabitkan persaingan ribuan sekolah dunia yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$SD50,000 (RM231,750) bagi pemenang tempat pertama.

Guru Besar SK Seri Permai, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail, berkata sekolahnya mempertaruhkan inovasi meja dan ruang simpanan buku dikenali sebagai Smart and Easy Table (SnET) 2.0 yang diilhamkan sendiri oleh beliau bagi mengatasi masalah beg sekolah berat.

“Pada peringkat awal sekolah kami terpilih dalam senarai pendek sebagai lima sekolah terbaik di negara ini untuk mewakili Malaysia dalam WBSP bagi kategori inovasi dan kami menerima maklum balas yang cukup positif daripada penganjur ketika sesi penjurian.

“Meja pintar ini sudah digunakan sejak 2020 secara berperingkat dan setakat ini sebanyak 800 buah meja telah diubah suai menjadi SnET 2.0 yang dilengkapi laci dan rak mini berkunci yang pertama seumpamanya di negara ini.

“Ia dibangunkan dengan kerjasama pelajar dari Institut Kemahiran MARA (IKM) Sungai Petani, Kedah dengan kos sekitar RM100 sebuah berbanding RM400 harga pasaran dan sedang dalam proses pendaftaran paten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman secara dalam talian yang turut dihadiri, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad di sini, hari ini.

Mohammad Sabarullah berkata ketika ini SK Seri Permai mempunyai kira-kira 1,500 murid yang berkongsi 24 kelas dengan setiap kelas mempunyai sekitar 28 hingga 35 murid.

-Advertisement-

Beliau berkata inovasi itu bukan sekadar menangani isu masalah beg sekolah berat iaitu dari tujuh hingga 10 kilogram (kg) kepada sekitar 2.5 kilogram bagi setiap murid malah mampu mewujudkan suasana pembelajaran lebih kondusif dan menyeronokkan.

Katanya, ini kerana murid hanya perlu membawa pulang tugasan yang dibekalkan guru dan boleh meninggalkan buku selebihnya di sekolah dengan selamat dan mereka tidak perlu bersusah payah merujuk jadual untuk memilih buku mana yang harus dibawa ke sekolah.

“Pihak kami turut dihubungi guru-guru dari beberapa sekolah seperti Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah dan Johor yang berminat untuk menggunakan inovasi seumpama ini selain kami mendapati kaedah ini dapat memanjangkan jangka hayat buku teks.

“Jadi kami sedia membantu termasuk telah mewujudkan kumpulan WhatsApp untuk sama-sama berbincang dan bertukar idea serta mencari jalan bagaimana menyelesaikan isu melibatkan masalah beg sekolah berat mengikut kesesuaian sekolah masing-masing.

Terdahulu T4 Education turut memaklumkan sekolah yang berjaya merangkul kedudukan tiga terbaik dijangka akan diumumkan pada September tahun ini.

– BH