Kedah cadang bubar DUN 28 Jun – Sanusi

Estimate Reading Time: 2 minutes

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan menyembahkan cadangan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 28 Jun ini, sekali gus membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak bersama lima lagi negeri lain.

-Advertisement-

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata beliau akan menyembah maklum ke atas Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah, bagi mendapatkan perkenan baginda pada 25 Jun ini, sebelum pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat.

Jelasnya, pemilihan tarikh 28 Jun itu dibuat bersempena hari Wukuf di Arafah bagi umat Islam yang menunaikan fardu haji, yang membawa maksud sebagai ‘berhenti’.

“Bubar DUN saya kena dapat perkenan Tuanku (Sultan Kedah) dahulu…Itu (tarikh 28 Jun) cadangan sahaja, kalau Tuanku perkenan baharu saya akan umum secara rasmi.

“Kalau Tuanku tak perkenan kita boleh lanjut tarikh itu sampai tarikh matang DUN Kedah pada 4 Julai, jadi terserah kepada Tuanku,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sebelum ini tiga daripada enam negeri yang akan terbabit PRN turut memaklumkan tarikh cadangan untuk pembubaran DUN iaitu Kelantan (22 Jun), Negeri Sembilan (30 Jun) dan Pulau Pinang (28 Jun), Dua lagi negeri iaitu Selangor dan Terengganu belum mengumumkan tarikh pembubaran.

Muhammad Sanusi berkata, selepas pembubaran DUN dibuat, terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon, pengundian awal, undi pos dan hari pembuangan undi.

Ketika ditanya desas-desus nama Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Menteri Besar Kedah, beliau berkata bekas Ahli Parlimen Jerlun itu juga sudah memuat naik status tak akan kembali.

-Advertisement-

“Nak jadi Menteri Besar kena menang pilihan raya dulu. Kalau jadi calon tapi tak menang bukan boleh dilantik jadi senator negeri,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa sepanjang tiga tahun pentadbiran di bawah Perikatan Nasional (PN), beliau menegaskan tuduhan itu dibuat orang politik yang buta mata dan pekak telinga.

Katanya, kerajaan negeri melakukan perkara termasuk berjaya menarik pelbagai pelaburan baharu sehingga menjadikan Kedah antara lokasi tarikan pelabur termasuk dari luar negara.

“Itu saya kata jangan jadi pekak dan buta, pandanglah dengan hati ikhlas dan berlapang dada untuk mengakui perkara yang baik. Yang bercakap (itu) pernah jadi kerajaan, (jadi) apabila kita buat lebih sikit daripada mereka, biasalah orang politik yang tak ada hati perut kata macam-macam.

“Banyak kita buat, contoh Projek Kedah2035 kita rangka pelbagai inisiatif. Ketika Sidang DUN Kedah mereka kata saya tak terangkan, jadi saya jemput semua pembangkang ke taklimat khas Kedah2035.

“Tetapi yang datang seorang sahaja iaitu Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor),” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373