PUTRAJAYA, 24 Ogos 2026 (The Capital Post) – Institut Penilaian Negara (INSPEN) memperkenalkan sistem Model Prediction for Managing Building Obsolescence yang menggunakan teknologi machine learning bagi membantu meramal dan mengklasifikasikan keadaan sesebuah bangunan.
Sesi pengenalan dan penggunaan sistem tersebut diadakan pada 24 Ogos 2026 di Makmal Sri Mutiara 2, INSPEN.
Sistem berkenaan dibangunkan hasil penyelidikan Profesor Sr Ts. Dr. Azlan Shah bin Ali dari Universiti Malaya menerusi Dana Penyelidikan National Property Research Coordinator (NAPREC).
Teknologi machine learning yang digunakan membolehkan sistem membantu menentukan sama ada sesebuah bangunan berada dalam kategori usang (obsolete) atau tidak usang (non-obsolete).
Sepanjang sesi, peserta diberikan penerangan mengenai latar belakang pembangunan sistem, fungsi dan keupayaannya serta tatacara penggunaannya.
-Advertisement-
Demonstrasi turut dijalankan bagi memberi pendedahan praktikal kepada peserta berkaitan proses memasukkan data, analisis serta hasil klasifikasi yang dijana oleh sistem.
Sesi berkenaan turut menjadi platform perkongsian ilmu antara penyelidik, pihak INSPEN dan peserta mengenai potensi penggunaan sistem tersebut dalam membantu pengurusan bangunan.
INSPEN berkata hasil penyelidikan itu diharapkan dapat dimanfaatkan dan dikembangkan sebagai pendekatan berasaskan teknologi serta data bagi menyokong pengurusan dan penilaian harta tanah yang lebih sistematik, tepat dan berkesan.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi INSPEN JPPH, sesi tersebut turut memberi peluang kepada peserta mendapatkan pendedahan secara praktikal mengenai penggunaan sistem Model Prediction for Managing Building Obsolescence. – The Capital Post