PUTRAJAYA 3 Ogos 2026, (The Capital Post) – Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) menghimpunkan 73 delegasi daripada kerajaan, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi antarabangsa serta kumpulan diterajui mangsa dari 23 negara Asia dan Afrika dalam Dialog Pakar mengenai Usaha Pencegahan Berkaitan Pemerdagangan Orang bagi Jenayah Paksaan di Putrajaya pada 21 hingga 22 Julai 2026.
Dialog tersebut menjadi platform perkongsian pengetahuan, pertukaran amalan terbaik serta pengukuhan kerjasama antara pihak berkepentingan dalam menangani ancaman rentas sempadan berkaitan pemerdagangan manusia untuk tujuan jenayah paksaan yang semakin membimbangkan.
Perbincangan sepanjang program memberi tumpuan kepada strategi pencegahan, perlindungan mangsa, taktik pengambilan pekerja secara memperdaya, kerjasama rentas sempadan serta kepentingan pendekatan berasaskan pengalaman mangsa dalam merangka tindakan yang lebih berkesan.
IOM turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia atas kerjasama dalam menjayakan penganjuran dialog berkenaan.
-Advertisement-
Program tersebut dibiayai oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat dan Jabatan Dalam Negeri Australia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kapasiti serta kerjasama antarabangsa dalam membanteras isu pemerdagangan manusia.
Penganjuran dialog ini mencerminkan komitmen bersama negara-negara terlibat dalam mempertingkat usaha pencegahan, melindungi mangsa serta membina mekanisme tindak balas yang lebih berkesan terhadap jenayah pemerdagangan manusia. – The Capital Post