JAKIM Touch Dilancar, Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Diperkasa

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 3 Oktober 2026 (The Capital Post) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkenalkan JAKIM Touch, sebuah aplikasi digital sehenti yang menghimpunkan maklumat, panduan dan perkhidmatan berkaitan hal ehwal Islam bagi memudahkan akses masyarakat kepada perkhidmatan agama secara lebih tersusun dan bersepadu.

Aplikasi tersebut dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, bersempena Perhimpunan Agensi Hal Ehwal Agama (HEA).

JAKIM Touch menyediakan pelbagai fungsi teras JAKIM termasuk rujukan al-Quran, hukum-hakam Islam, maklumat halal dan panduan ibadah. Aplikasi itu turut dilengkapi kemudahan digital seperti Smart al-Quran dan AI Chatbot bagi menyokong keperluan pengguna.

Perhimpunan HEA berkenaan turut menjadi platform untuk menelusuri perkembangan gerak kerja agensi hal ehwal agama sejak awal tahun, termasuk usaha memperluas pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Seiring dengan seruan Menteri supaya agensi HEA terus meneroka idea dan inisiatif baharu, pelbagai usaha digital terus dilaksanakan berdasarkan bidang tugas serta kepakaran setiap agensi, dengan tumpuan untuk mendekatkan perkhidmatan kepada orang ramai.

-Advertisement-

Dalam majlis sama, TV Alhijrah turut melancarkan Karya Visual Fasa 3 yang diinspirasikan oleh Senator Dr. Zulkifli Hasan. Karya tersebut mengetengahkan peranan pelbagai agensi HEA dalam perjalanan kehidupan seseorang, bermula daripada kelahiran dan melalui pelbagai peringkat kehidupan sehingga akhir hayat.

Karya berkenaan turut menggambarkan hubungan saling melengkapi antara agensi HEA dalam aspek pendidikan, pembangunan insan dan keluarga, kebajikan, pengurusan masjid serta pembangunan komuniti bagi membentuk ekosistem perkhidmatan hal ehwal agama yang menyeluruh.

Dalam amanatnya, Senator Dr. Zulkifli Hasan menyeru warga HEA supaya terus bergerak secara bersama, mengekalkan hubungan dan kerjasama antara agensi serta mengelakkan pendekatan bekerja secara silo dengan menggembleng kekuatan masing-masing ke arah matlamat yang dikongsi.

Perhimpunan tersebut menjadi wadah untuk memperkukuh kesatuan serta hubungan antara agensi HEA, selain memastikan idea dan gagasan yang dicetuskan dapat diterjemahkan kepada inisiatif yang memberi manfaat serta impak kepada masyarakat – The Capital Post