JAPEN, KLN Perkukuh Kerjasama Komunikasi Strategik

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 22 Julai 2026 (The Capital Post) – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang komunikasi dan diplomasi awam menerusi satu kunjungan hormat yang berlangsung di Putrajaya.

Ketua Pengarah JAPEN, Encik Erwin Khairul Ahmad menerima kunjungan Setiausaha Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam KLN, YBhg. Dato’ Nur Izzah Wong Mee Choo bersama delegasi bagi membincangkan usaha mempertingkat penyelarasan komunikasi antara kedua-dua agensi.

Antara fokus utama pertemuan tersebut ialah pengukuhan kerjasama dalam pengurusan media semasa lawatan rasmi ketua-ketua negara asing ke Malaysia bagi memastikan penyampaian maklumat yang lebih tersusun, tepat dan berkesan kepada masyarakat.

-Advertisement-

Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai mekanisme perkongsian maklumat antara Malaysia dengan perwakilan negara di luar negara sebagai usaha memperkukuh komunikasi strategik serta meningkatkan keberkesanan diplomasi awam.

Kerjasama yang diperkukuhkan ini dijangka dapat mempertingkat penyelarasan antara JAPEN dan KLN dalam menyampaikan maklumat rasmi kerajaan, di samping memperkukuh imej Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi pengurusan komunikasi yang lebih sistematik dan berkesan. – The Capital Post