Jemaah Malaysia diingatkan tidak bawa air zam zam dalam penerbangan pulang

Estimate Reading Time: 2 minutes

MAKKAH: Jemaah haji Malaysia diingatkan tidak membawa bersama air zam zam dalam penerbangan pulang ke tanah air, dengan kumpulan pertama dijadualkan berlepas dari Jeddah pada Rabu ini.

-Advertisement-

Pengarah Operasi Maktab bagi Musim Haji 1444H/2023M, Mohd Sawal Abong, berkata perkara itu dilarang sama sekali oleh pihak berkuasa Arab Saudi atas faktor keselamatan, sama ada ia dibawa dalam beg ‘hand carry’ mahupun bagasi yang didaftar masuk.

Beliau menekankan, pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas berteknologi tinggi oleh pihak berkuasa lapangan terbang berupaya mengesan sebarang air zam zam yang cuba disembunyikan dalam beg atau bagasi.

Sebelum ini, katanya, ada segelintir jemaah cuba membawa balik air zam zam dalam botol kecil menggunakan taktik seperti membalut dengan kertas ‘foil’ bagi mengelak ia dikesan tetapi tetap gagal.

“Saya mengingatkan jemaah haji Malaysia supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan, malah air zam zam memang tidak akan terlepas daripada pemeriksaan oleh pihak berkuasa lapangan terbang.

“Apabila dikesan, air zam zam itu tetap akan dikeluarkan walaupun bagasi terbabit sudah dibalut dengan rapi. Jemaah tidak dibenarkan langsung membawa balik air zam zam dalam penerbangan, dan larangan itu dikuatkuasakan secara ketat.

“Insya-Allah, setiap jemaah Malaysia akan menerima air zam zam sebanyak lima liter apabila tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) atau stesen ‘penerbangan feeder’ masing-masing nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika memantau proses daftar masuk bagasi, ‘City Check-In’ (CCI) di bangunan penginapan jemaah yang juga Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah, Abraj Al-Janadriyah, bagi 284 jemaah dalam kumpulan penerbangan (KT) pertama, hari ini.

-Advertisement-

Jemaah KT pertama dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah, pada jam 7.15 pagi Rabu ini dan tiba di KLIA pada jam 9.45 malam (waktu Malaysia) dengan menaiki pesawat MH8261.

Menjelaskan lanjut, Mohd Sawal berkata, CCI akan dilakukan di bangunan penginapan jemaah haji mengikut tarikh, masa serta KT masing-masing, sekali gus memudahkan mereka kerana tidak perlu melalui proses menimbang dan mendaftar masuk bagasi di lapangan terbang.

Beliau berkata, jemaah boleh menyemak maklumat berkaitan proses CCI dalam kumpulan WhatsApp mengikut KT atau di pejabat operasi maktab. Penerbangan terakhir jemaah haji Malaysia pulang ke tanah air dijadualkan berlepas pada 31 Julai depan.

Katanya, setiap jemaah dibenarkan mendaftar masuk bagasi dengan berat maksimum 30 kilogram (kg), selain barangan peribadi seperti tongkat dan kerusi roda turut dibenarkan dalam urusan CCI.

Dalam proses CCI, beliau berkata, timbangan bagasi boleh dilakukan secara individu ataupun kumpulan kecil, terutama jemaah mempunyai hubungan terdekat seperti pasangan suami isteri.

“Jemaah hendaklah membawa lencana pengenalan diri bagi melakukan urusan CCI. Barangan lain dilarang dibawa dalam pesawat, adalah sama seperti ketetapan peraturan penerbangan antarabangsa. Ia termasuk senjata api, bahan mudah terbakar dan bahan kimia beracun,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373