JKR Selangor Pulihkan Lampu Isyarat Selepas Kemalangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SUBANG BESTARI, 8 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor mengambil tindakan segera bagi memulihkan kemudahan jalan raya dan sistem lampu isyarat yang mengalami kerosakan susulan beberapa kemalangan awam di laluan FT287, Jalan Sungai Buloh-Shah Alam, berhampiran Persiaran Mokhtar Dahari.

Tindakan tersebut dilaksanakan menerusi rondaan rutin pada waktu malam pada 7 September, termasuk kerja pengasingan kabel pada tiang lampu jalan yang tumbang akibat kemalangan berhampiran jalan susur bertingkat laluan B49, Persiaran Mokhtar Dahari.

Selain itu, JKR Selangor turut menjalankan kerja pembaikan terhadap komponen signal aspect yang rosak selepas sebuah kenderaan terbakar berhampiran tiang lampu isyarat di kawasan berkenaan.

Kebakaran kenderaan berkenaan dipercayai menyebabkan kerosakan pada komponen lampu isyarat serta kabel kawalan, sekali gus menjejaskan fungsi sistem di persimpangan tersebut.

-Advertisement-

Bagi memastikan sistem kembali beroperasi, kerja penggantian kabel pada tiang lampu isyarat dilaksanakan menggunakan tenaga kerja jabatan. Sistem lampu isyarat kemudiannya dilaraskan dan diaktifkan semula bagi memastikan kelancaran operasi persimpangan serta keselamatan pengguna jalan raya.

Tindakan pantas JKR Selangor itu mencerminkan komitmen jabatan dalam menangani kerosakan infrastruktur jalan raya dengan segera, khususnya yang boleh menjejaskan keselamatan dan keselesaan orang awam. – The Capital Post