Jururawat berpakaian ketat kes terpencil, pakaian seragam ada garis panduan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) menyifatkan isu pakaian jururawat yang didakwa ketat hanyalah kes terpencil, membabitkan segelintir kakitangan yang berkemungkinan mengenakannya ekoran berdepan kenaikan berat badan.

-Advertisement-

Bagaimanapun, kesatuan berpandangan ia bukanlah sesuatu yang disengajakan.

Presidennya, Nor Hayati Abd Rashid, berkata ini kerana penetapan kod pakaian jururawat yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam dibuat berdasarkan garis panduan dan konsultasi yang ketat sebelum ia diluluskan.

Malah beliau berkata, kod pakaian yang ditambah baik sejak penghujung 1980-an itu lebih ‘tertutup’ dengan menggunakan seluar panjang berbanding skirt sebelum itu.

“Sebenarnya uniform ini sudah mengikut peraturan ditetapkan, ada garis panduan tidak boleh ketat dan sebagainya.

“Soal pakaian ketat itu lebih kepada individu dan sebenarnya adalah menjadi tugas jururawat itu sendiri sedar, sekiranya uniform itu dirasa sudah ketat supaya menempah yang baharu,” katanya kepada BH, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuantan dari Perikatan Nasional, Wan Razali Wan Nor, yang mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan yang didakwa ketat dan tidak patuh syariah di ketika persidangan Dewan Rakyat semalam.

-Advertisement-

Wan Razali mendakwa ramai jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat mengikut acuan Barat hingga menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam.

Wan Razali turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai.

Pada masa sama, Nor Hayati berkata, kebiasaannya ketua jururawat atau penyelia akan menasihatkan kakitangan masing-masing sekiranya mendapati mereka tidak mematuhi standard pemakaian dibenarkan KKM.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MNU turut mengalu-alukan sekiranya wujudnya cadangan untuk memperhalusi penambahbaikan kod pakaian jururawat di sektor awam di negara ini.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373